Dikuasakan oleh Blogger.
Ahad, 23 Ogos 2015
Hazel Jay ~ Encik Suamiku Hipster - Bab 02
"KAU putus cinta lagi, Hani?"
Terbelalak mata Puan Suzana bertanya selepas dimaklumkan Hania yang dia sudah pun putus cinta dengan Syamim. Sebelum ini dia pernah membawa Syamim bertemu dengan kedua orang tuanya dan kedua orang tuanya sudah mula berkenan dengan Syamim si bakal doktor itu. Tapi, apakan daya, jodoh dia dengan Syamim tiada. Hendak menafikan pun, hal sudah berlaku. Baik dia terima takdir ini seadanya.
"Yalah mak, Hani ada kata putus urat kentut ke?" jawab Hani dengan soalan sambil menyumbat cekodok ke dalam mulut.
"Amboi, loyer buruk kau, kan? Apa nak jadi dengan kau ni Hani? Umur dah 25 tahun. Tahun depan dah masuk 26 tahun, tapi seorang lelaki pun tak melekat nak jadikan kau bini. Kau ada bela saka ke apa?" leter Puan Suzana. Di dalam keluarganya ada satu tradisi untuk semua anak perempuannya, termasuk Hania. Mujur dia tiada anak lelaki. Jika ada, pasti anak lelakinya turut menjadi mangsa tradisi keluarganya yang pelik lagi aneh itu.
"Apa mak ni? Tak baik tuduh Hani bukan-bukan, tau?"
Teh 'O' panas bancuhan emaknya dihirup sedikit bagi melancarkan salur kerongkongnya yang sesak dek cekodok.
"Apa bising-bising ni?"
Muncul Encik Harun dari arah bilik utama sambil melipat lengan kemejanya. Dia sudah siap untuk ke pejabat sebentar lagi.
"Mak ni yah, ada ke tuduh Hani bela saka bila tak ada lelaki melekat dekat Hani? Sampai hati mak buat tuduhan melulu," adu Hania sambil tarik muncung. Dia memang manja dengan ayahnya berbanding dengan emaknya yang kuat berleter itu.
Encik Harun geleng kepala lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang selalu didudukinya, iaitu di kepala meja makan. Ala-ala tuan besar gitu.
Kecil kelopak mata Puan Suzana menjeling anak bungsunya. Pantang ada suaminya, laju sahaja anak bungsunya itu mengadu. Teko dicapai lalu isinya dituang ke dalam cawan suaminya.
"Saya ni bukan apa, bang. Si Hasni dengan si Hisya tu, sebelum umur 23 tahun dia orang dah kahwin. Saya kahwin dengan abang pun masa umur saya 23 tahun. Dalam adik-beradik saya, tak ada yang lebih dari umur 23 tahun baru nak kahwin. Anak bungsu abang ni aje yang dah terlajak usia, tapi masih tak berlaki lagi," Puan Suzana sambung berleter.
Itulah tradisi yang Puan Suzana pegang sejak dulu. Disebabkan adik beradiknya termasuk adik-beradik arwah bondanya hampir kesemuanya berkahwin sebelum atau selewat-lewatnya kala usia 23 tahun, dia mahu tradisi itu dikekalkan sehingga generasinya yang akan datang. Malangnya, tradasi itu telah dicemari Hania, si anak bungsunya itu.
"Alah awak tu, jangan diikut sangat dengan tradisi merepek keluarga awak tu. Saya kahwin dengan awak, usia saya dah 29 tahun masa tu tau? Lahir jugak tiga orang anak dari rahim awak, kan?" balas Encik Harun lalu menghirup minumannya. Sempat dia mengenyit mata ke arah anak bungsunya.
Terus kembang hidung Hania selepas dibela ayahnya. Muncung bibir yang sebelum ini panjang bertukar senyuman paling bahagia dalam dunia. Kenyitan ayahnya dibalas secara sembunyi-sembunyi.
Puan Suzana yang perasan dengan kenyitan dua beranak itu menjeling siling, meluat. Bapak dengan anak sama aje, rengusnya di dalam hati. Geram pula dia dengan suaminya itu yang sering membela Hania. Nampaknya, tradisi kahwin sebelum usia 23 tahunnya hanya sampai ke genarasinya sahaja. Selepas itu, punah!
"Dahlah, tak payah awak nak peningkan kepala. Ada jodoh nanti, adalah lelaki nak dekat anak bungsu awak ni," ujar Encik Harun, cuba mengusir keresahan isterinya.
Puan Suzana tarik muncung geram lalu melabuhkan punggung di atas kerusi yang bersebelahan dengan suaminya dan berhadapan dengan Hania.
"Saya bukan apa, bang. Saya takut anak bungsu awak ni jadi anak dara tua. Walaupun di zaman serba moden ni, dah ramai perempuan kahwin lewat, saya tak naklah anak kita ni pun jadi salah seorang dari mereka. Perempuan ni kalau umur dah lebih 30 tahun, susah nak beranak," luah Puan Suzana apa yang menjadi kerisauannya. Cekodok buatanya mula disumbat ke dalam mulut.
Beginilah kehidupan mereka setiap hari. Akan bersarapan bersama sebelum masing-masin ke tempat kerja. Dulu berlima. Tapi, sejak dua lagi anak perempuan Puan Suzana dan Encik Harun sudah berumah tangga, tinggalah mereka bertiga sahaja di rumah ini.
"Insya-ALLAH, tak. Bukannya anak awak ni tak berusaha cari suami pun, kan? Dia dah berusaha gigih dan penuh kecekalan demi melunaskan kehendak awak tu. Cuba awak ingat balik, dah berapa ramai lelaki dia angkut jumpa awak sejak dia berusia 20 tahun? Lebih dari sembilan orang, tau? Tak ke hebat tu?"
Encik Harun membela lagi anak bungsunya. Di hujung kata-katanya, sempat dia memuji Hania.
"Emmm... kalau angkut ramai lelaki pun, belum sempat nak betunang dah putus, buat apa? Buat sakit hati saya aje," rengus Puan Suzana yang masih tidak bisa menerima apa yang telah berlaku pada Hania.
Encik Harun hanya geleng kepala. Hilang butir biacaranya untuk membalas kata-kata isterinya itu.
"Ha, yang kau tu Hani, jangan nak gembira sangat bila ayah kau duk bela kau selama ni. Kau ingat kau boleh duduk senang lenang macam tu aje? Mak tak kira, sebelum umur kau 26 tahun, mak nak kau berlaki, faham?"
Senyum gembira Hania terus punah bila emaknya sudah menggunakan kuasa vetonya.
"Dia dah buat hal lagi dah," gumam Hania di rengkungan sambil mengunyah habis sisa cekodok di dalam mulut.
"Hah! Mengata aku lah tu, tercekik cekodok tu baru tau. Kau dengar tak apa mak cakap ni, Hani?" jerkah Puan Suzana melengking nadanya.
"Ya, Hani dengarlah mak. Hani belum pekak lagi," balas Hania sambil tahan geram.
"Mak ingat cari suami ni macam cari gula-gula dalam tepung? Hani ni macam dah putus asa nak cari bakal suamilah mak."
"Wah! Dah putus asa pulak? Dah tu, kau tak nak kahwin?"
"Kalau tak kahwin lagi membahagiakan, Hani rela tak kahwin sampai bila-bila mak."
"Amboi, sedap mulut kau berkata-kata, kan? Dah macam tak ada iman. Kau nak jadi apa, Hani? Kau ni lesbian ke apa?"
"Isy awak ni, kenapa cakap macam tu?" tintas Encik Harun, kurang senang dengan butir bicara yang tertutur dari bibir isterinya. "Kata-kata yang keluar dari mulut seorang ibu tu, satu doa tau? Tiada hijab doa seorang ibu pada anaknya. Awak nak anak awak ni jadi macam tu? Selisih!" sambungnya, sekadar berpesan.
"Tak adalah bang, saya geram dengan anak abang ni. Kita punyalah risau fasal dia, dia boleh cakap macam tu pulak."
"Awak nak bising-bising pun, bukannya awak tu TUHAN. Kalau ALLAH dah tetapkan yang jodoh anak awak ni belum sampai, beribu lelaki dia cari untuk dijadikan suami, tetap tak akan melekat Puan Suzana oiii."
Puan Suzana hanya mampu tahan geram. Geram bila suaminya terus-terusan membela anak bungsunya itu.
"Macam nilah mak. Mak ada kata sebelum ni, kalau Hani tak dapat cari bakal suami Hani sendiri, mak nak carikan suami untuk Hani, kan? Apa kata mak laksanakan rancangan mak tu. Hani macam dah malas nak cari suami pilihan sendiri. Semua tak menjadi," ujar Hani dengan wajah bosan dan putus asa. Sesungguhnya dia sudah bosan mahu terus-terusan mencari pacar untuk dijadikan suami.
Serentak Puan Suzana dan Encik Harun menoleh memandang ke arah anak bungsunya itu. Puan Suzana mengukir senyum gembira. Manakala Encik Harun pula terlopong terkejut mendengar kata-kata anak bungsunya itu.
"Kau ni biar betul Hani? Kau tak menyesal dengan keputusan kau ni? Kau tak takut pilihan mak kau nanti macam tenuk kena langgar speda?" tanya Encik Harun, cemas sekali.
"Hani dah penatlah yah, nak cari boyfriend. Beria-ia cari, hujungnya? Kena tinggal," jawab Hania, lemah.
"Ayah rasa, kalau kau tu ubah penampilan kau jadi lemah lembut sikit, pakai mekap sikit-sikit, mesti ramai lelaki nak dekat kau."
Encik Harun berusaha mengubah keputusan anak bungsunya itu. Dia tidak mahu anaknya itu jadi mangsa kahwin paksa. Yang menderita kecewanya nanti anaknya itu, bukannya dia. Dia mahu yang terbaik untuk anaknya. Konsep kahwin paksa bukan trend masa kini.
"Alah abang ni, budak tu dah setuju nak saya carikan suami untuk dia, tak perlulah abang risau. Abang ingat saya tak ada teste ke? Kalau teste saya rendah, takkanlah dalam ramai-ramai lelaki yang suka dekat saya, saya pilih abang, kan?" Puan Suzana mencelah.
"Eh, ada ke lelaki minat dekat awak selain saya? Entah-entah kalau saya tak nak dekat awak, sampai sekarang awak tak berlaki. Tradisi kahwin sebelum usia 23 tahun tu awak sendiri yang langgar, betul tak?" perli Encik Harun lalu menghirup minumannya.
"Adalah! Awak mana tahu." Suaminya dijeling geram kemudian dia kembali memandang Hani yang sedang menjamah cekodoknya dengan muka toya.
"Kau yakin dengan keputusan kau nak mak carikan suami untuk kau?" tanya Puan Suzana ingin memastikan.
"Ya. Anggap ini sebagai cabaran untuk mak. Kalau berlaku apa-apa pada Hani atau rumah tangga Hani yang mak pelan ni, mak yang akan bertanggungjawab, boleh?" jawab Hania dengan satu permintaan.
"Boleh saja. Mak yakin, menantu pilihan mak ni terbaik dari ladang. Kau mesti suka punyalah!" yakin sungguh Puan Suzana dengan kata-katanya. Bibirnya terus mengukir senyum gembira lalu dia menghirup minumannya.
Hania dan Encik Harun saling berpandangan buat seketika sebelum mencebik dan menyambung menjamah cekodok masing-masing.
Betul ke, apa yang aku buat ni? Hati kecil Hania tertanya.
**********
BUTIK Hairy Saffarin Couture dibuka seperti biasa. Beroperasi dari jam sepuluh pagi hinggalah sepuluh malam, setiap hari. Hairy Saffarin Couture yang terletak di lot 3.31 aras tiga Pavilion Kuala Lumpur ini betul-betul bersebelahan dengan butik Celvin Klein Collections. Jadi, tidak sukar untuk pelanggan baru atau pelanggan tetap mereka untuk mencari di mana butik Hairy Saffarin Couture yang kini semakin dikenali dan mula setaraf dengan jenama-jenama terkenal dunia. Itu salah satu impian tuan punya butik, Mohd. Hairy Saffarin bin Mohd. Haikal. Dia mahu jenana Hairy Saffarin terkenal di serata dunia seperti jenama terkenal dunia di masa akan datang. Insya-ALLAH.
Selain menjual pelbagai koleksi pakaian siap untuk lelaki dan wanita dari rekaan pemilik butik ini sendiri, Hairy Saffarin Couture juga sedia menerima tempahan baju lelaki dan wanita. Cumanya, Hairy Saffarin Couture lebih mengutamakan pakaian lelaki. Konsep elegen yang dipilih untuk dekorasi butik itu bersesuaian dengan kualiti dan produk yang dijual dan seiringin dengan butik-butik jenama terkenal yang ada di pusat membeli belah ini.
Berkat usaha dan kecekalan Saffarin dalam bidang perniagaan yang melibatkan pengeluaran dan pembikinan pakaian lelaki dan wanita, dia kini semakin menuju ke puncak kejayaan. Walaupun dia masih baru berada di persada dunia fasyen, jenama pakaiannya semakin dikenali. Andai ada usaha dibuat tanpa putus diiringi doa pada yang ESA. Tidak mustahil kejayaan yang ingin diraih bisa dikecapi dalam masa yang singkat. Kejayaan pasti akan diperolehi untuk mereka yang mahu berusaha, berdoa dan bertawakal. Dalam masa tidak lebih lima tahun, Hairy Saffarin Couture sudah mula dikenali hampir di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Jepun.
Saffarin pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan rekaan fesyen peringkat Asia di Jepun beberapa tahun lalu dan secara tidak langsung telah mengangkat nama beliau sehingga dikenali di negara matahari terbit itu. Walaupun masih belum ada butik sendiri di sana, pakaian-pakaian rekaannya sudah mula dijual di sebuah butik usaha sama di negara tersebut. Andai ada rezeki, dia ingin membuka butik Hairy Saffarin Couture di sana, suatu hari nanti.
Apa-apa pun, Saffarin bersyukur dengan apa yang dia miliki sekarang. Hasil dari penat jerih dan lelahnya, kini dia sudah bisa memiliki kondominium dan kereta sendiri. Hidupnya boleh dikatakan sudah stabil dari segi ekonomi. Dari segi kehidupan, dia masih belum menemukan pelengkap hidupnya sehingga kini.
"Good morning, aku menganggu kau ke?" sapa Ery di muka pintu pejabat yang sengaja tidak ditutup.
Lamunan Saffarin terhenti bila disapa secara tiba-tiba. Hilang terus kenangan-kenangan lalu yang tertayang di hadapan matanya secara ringkas sebentar tadi. Kita akan lebih menghargai apa yang kita ada sekarang setiap kali kita mengimbau keperitan masa lalu.
"Eh, kau Ery. Tak pun. Ada apa?" jawab Saffarin sambil mengabaikan kerjanya.
Ery tidak terus menjawab. Dia melangkah masuk ke dalam pejabat kawan baiknya itu bersama sepucuk sampul surat berwarna merah jambu bersaiz A5 di tangan. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang ada di hadapan meja Saffarin walaupun tidak dijemput.
"Kau ada tengok post dekat Instagram dan Twitter Fazira dari malam tadi sampai pagi tadi?" tanya Ery selepas dia selesa duduk.
Saffarin yang sedang menatap skrin komputer ribanya tidak terus mejawab. Dia sedang menyemak isi akaun e-melnya. Manalah tahu ada e-mel baru dari pelanggan atau pembekal kain untuk butiknya. Atau e-mel jemputan atau kebenaran tajaan untuk majlis-majlis besar dari pihak televisyen dan artis. Selain menjual pakaian lelaki dan wanita rekaannya sendiri dan menerima tempahan membuat baju, Hairy Saffarin Couture juga kerap kali menaja pakaian-pakaian artis untuk ke majlis anugerah atau red carpet. Tetapi kebanyakannya tajaan lebih diberikan kepada artis lelaki kerana dia lebih mahir dalam bidang pembuatan pakaian lelaki.
"Tak ada, kenapa?" jawab Saffarin tanpa memandang Ery.
"Dari malam tadi dia duk post status putus cinta. Siap upload gambar dia tengah menangis bawah bantal lagi dekat IG dia," jawab Ery yang jelas nyata telah 'mengintip' laman sosial model terkenal itu.
"Oh, aku ingatkan dia bunuh diri. Kalau dia belum mati, tu maknanya dia masih boleh kawal emosi dia lagi," ujar Saffarin sedikit pun tidak risau.
Tergamam Ery buat seketika. Dia tidak menyangka, Saffarin kelihatan begitu selamba selepas menghancurkan sekeping hati perempuan.
"Senangnya kau cakap, kan? Kau tak sedar ke, kau dah berlaku kejam pada Fazira? Entah-entah dia terpaksa tolak semua job modeling dia lepas kau breakoff dengan dia semalam. Kau tak terfikir ke, semua tu?"
Mendengarkan kata-kata Ery itu, terus Saffarin memandang wajah kawan baiknya itu, lama. Tersentap jiwanya bila dia seolah dipersalahkan.
"Dah tu, kau nak aku buat apa? Nak merayu pada dia supaya terima aku balik selepas aku sendiri yang putuskan hubungan cinta aku dengan dia?"
Keluhan berat, Ery helakan. Dia bukannya mahu membela Fazira atau wanita-wanita yang pernah Saffarin kecewakan sebelum ini. Dia cuma hairan, apa sebenarnya yang kawan baiknya itu inginkan dari seorang perempuan. Tidak pernah kekal lama bila menerima seorang wanita itu untuk dijadikan kekasihnya. Ada sahaja yang tidak kena selepas beberapa bulan bercinta. Dan wanita terakhir yang menjadi mangsa Saffarin adalah Fazira.
"Tak adalah macam tu, Farin. Aku cuma hairan dengan kau. Dah ramai perempuan yang kau jadikan kekasih. Tapi, semuanya tak kekal lama. Lepas beberapa bulan atau minggu bercinta, mesti kau akan putuskan hubungan kau dengan perempuan tu. Apa gunanya kau terima perempuan-perempuan tu jadi kekasih kau kalau untuk disakiti? Kalau kau tak boleh terima, baik kau jangan bagi harapan pada mereka. Tak baik sakiti hati perempuan, Farin."
Ery memberi kata-kata peringatan pada Saffarin. Itu sahaja niatnya, tiada niat lain.
Kali ini Saffarin pula mengeluh. Komputer ribanya terus diabaikan. Tubuh disandar relaks pada kerusi.
"Kau sebagai kawan baik aku, mesti kau dah tahu hal yang sebenar, kan?"
"Ya, aku tahu hal yang sebenar, tapi apa yang aku tak faham sekarang ni, perempuan macam mana yang kau nak? Perempuan-perempuan yang suka dekat kau tu semuanya model tau? Ada yang ketua editor majalah fesyen. Semuanya kau tolak."
"Kau pun dah tahu ciri-ciri perempuan yang aku suka, kan? Selain bombo, aku tak suka perempuan gedik dan mengawal hidup aku. Hampir semua perempuan yang pernah jadi girlfriend aku, semuanya akan berubah bila aku mula terima dia orang jadi girlfriend aku. Sebelum jadi girlfriend aku, bukan main diva dan kekwat semuanya. Bila dah jadi girlfriend aku, masing-masing mula keluarkan perangai sebenar."
"Perangai sebenar?" Ery masih tidak berapa faham.
"Yalah, perangai sebenar. Bimbo tu, aku boleh terima lagi sebab masih boleh diajar dan dididik. Tapi, kalau dah gedik, mengongkong dan suka beri arahan, kau ingat aku suka? Aku rimas dengan semua tu," jelas Saffarin sejelas-jelasnya. Dia berharap Ery faham apa yang cuba dia maksudkan.
"Dah tu, kau nak perempuan yang tak kongkong hidup kau, tak gedik dan tak suka mengarah? Kau rasa ada ke, perempuan macam tu?"
"Aku tak kata aku nak perempuan macam tu. Aku..."
Lama Ery menanti Saffarin menghabiskan kata-katanya. Dia mula menebak sesuatu.
"Atau mungkin, kau masih tercari-cari wanita yang boleh buat kau jatuh cinta pandang pertama?"
"Ha... itulah aku cuba maksudkan." Saffarin mengiakan. Itulah yang dia inginkan pada seorang perempuan. Kebanyakan wanita yang pernah menjadi kekasihnya sebelum ini, mereka yang mendekatkan diri padanya. Bukan dia yang mendekati mereka.
Ery tergelak spara besar.
"Kau ingat kita ni dalam filem Hindustan? Nak ada cinta pandang pertama segala?" perli Ery atau mungkin sindiran.
"Tak mustahilkan, perkara tu boleh berlaku? Kalau tak, tak adalah muncul perkataan 'cinta pandangan pertama' tu. Betul tak?"
Saffarin yakin, cinta pandang pertama itu wujud dan dia berharap dia bisa menikmati cinta sedemikian. Itulah salah satu impiannya sejak dulu lagi.
Ery tergelak lagi.
"Kalau macam tu, sampai ke tualah kau tak beristeri, Farin. Merepek tak habis-habis. Tapi tulah, takdir Tuhan tu bukan senang macam makan kacang goreng. Tak ada yang bulat datang bergolek dan yang pipih terbang melayang kalau tak usaha. Kalau satu hari nanti kau jatuh cinta pandang pertama pada seorang perempuan, tapi perempuan tu tak suka kau, macam mana?"
Sengaja Ery menerbitkan persoalan itu untuk membuat kawan baiknya itu sedar yang cinta pandang pertama itu mungkin wujud tapi tidak semudah yang disangka.
"Errr..." Saffarin tiada jawapan untuk soalan itu. Perkara belum terjadi, dia tidak bisa menebak apa-apa.
"Dahlah, aku malas nak bahas isu ni lagi. Kau masuk pejabat aku ni ada apa? Design hipster kau dah siap?"
Saffarin memilih untuk menukar topik. Tubuh kembali ditegakan lalu skrin komputer ribanya kembali dihadap.
Ery geleng kepala. Malas dia mahu mendesak lagi andai Saffarin sudah menukar topik perbualan.
"Ni, aku cuma nak bagi kad jemputan khas untuk majlis Kuala Lumpur Fashion Week dekat KLCC bulan depan. Kau dijemput untuk jadi salah seorang juri jemputan khas untuk malam terakhir bagi pertandingan rekaan fasyen untuk pereka muda yang dia orang buat," jawab Ery sambil menghulur sampul surat di tangannya.
Saffarin memandang Ery dengan kening sebelah terangkat. Sampul surat yang dihulur Ery disambut.
"Aku minta diri dulu, nak siapkan design aku," pamit Ery lalu melangkah meninggalkan pejabat itu selepas sampul surat bertukar tangan.
"Thanks," ucap Saffarin selepas sampul surat yang dihulur Ery sudah berada di tangannya. Isinya dikeluarkan. Sekeping kad jemputan khas untuk menghadiri malam gala Kuala Lumpur Fashion Week yang bakal berlangsung pada pertengahan bulan hadapan. Dengan segala hormatnya dia telah dijemput untuk menjadi salah seorang juri jemputan khas untuk pertandingan rekaan fesyen untuk pereka muda pada malam terakhir. Dia dikehendaki memberi pengesahan kehadirannya dalam tempoh dua minggu dari tarikh kad itu dihantar.
Sedang asyik dia membaca atur cara majlis Kuala Lumpur Fashion Week yang bakal berlangsung selama seminggu itu, tiba-tiba telefon pintarnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Tertera perkataan 'mama' sedang membuat panggilan. Bila mamanya sudah menghubunginya, tahulah dia apa yang mamanya mahukan dan bincangkan. Dengan lemah dia menjawab panggilan itu.
**********
"APA? Kau setuju dengan cadangan mak kau tu? Kau ni waras ke tak Hani? Tetap ada tema kahwin paksa dalam cerita ni, kan?" tanya Marsha, terkejut besar selepas Hania menceritakan semula tentang keputusannya.
Tersentak Hania bila Marsha yang tadinya duduk di sebelahnya tiba-tiba berdiri dan bercekak pinggang bertanyakan soalan itu. Persis mak tiri yang garang gayanya.
"Eh, yang kau terkejut tenuk ni apa hal? Kalau ada tema kahwin paksa sekali pun dalam cerita ni, yang kena kahwin paksa tu, aku, kan? Bukan kau."
Hania mempersoal balik. Geram pula dia bila Marsha tiba-tiba seolah naik hantu.
Marsha kembali duduk di atas sofa yang bersebelahan dengan Hania. Mujur butiknya tiada pelanggan ketika ini. Jika ada, pasti sudah ada yang cabut lari mendengar suara ala petirnya tadi.
"Memanglah yang kena kahwin paksa tu, kau. Bukannya aku. Tapi, kau tu sepupu merangkap kawan baik aku, merangkap pekerja aku, tau? Aku nilah tempat kau nak luahkan perasaan dan mengadu domba segala masalah kau. Kalau lelaki pilihan mak kau tu akan buat hidup kau huru hara, tak ke aku pun akan jadi huru hara sekali sebab nak kena hadap kau setiap kali ada masalah?"
Inilah salah satu sikap Marsha yang sebiji seperti emaknya. Kuat membebel!
"Jadi sekarang ni, kau nak komplenlah, selama ni aku banyak mengadu domba dan jebakan kau dalam masalah aku? Macam tu?"
"Bukanlah macam tu..." cepat sahaja Marsha memintas. Bantal kecil di sisinya dicapai dan diletak di ribanya. Pandangan dikalih ke arah televisyen yang sudah terpasang tanpa suara sejak tadi. Wajah tegang kembali kendur. Serba salah pula dia bila Hania berkata begitu. Seolah dia tidak ikhlas menjadi tempat mengadu Hania selama ini.
Hania mencebik. Gaun yang ditempah pelanggan di ribanya dilonggok di atas meja di hadapannya. Moodnya sudah hilang mahu menjahit manik.
"Aku cuma risaukan kau aje, Hani. Buatnya lelaki pilihan mak kau tu, tak boleh bahagiakan kau, macam mana? Apa gunakanya perkahwinan kalau untuk bercerai? Apa guna perkahwinan andai hidup dalam sangkar derita?" sambung Marsha. Itulah yang menjadi kerisauannya ketika ini. Dia sayangkan Hania lebih dari seorang sepupu. Dia sudah menganggap Hania seperti adik-beradik kandungnya sendiri. Andai Hania terluka, pasti dia turut terasa.
"Aku dah tak ada pilihan. Mak aku tu duk membebel aje setiap hari sebab aku dah langgar trasdisi keluarga dia yang mana setiap dari keturunan dia kena kahwin sebelum umur 23 tahun. Umur aku tahu ni dah 25 tahun, tau? Boyfriend banyak kali ada, tapi seorang pun tak pernah nak menjadi. Sebab tulah aku pasrah ikut cadangan mak aku tu," jelas Hania, mengapa dia buat keputusan untuk menuruti rancangan emaknya.
"Tapi, takkanlah sampai nak kena suruh mak kau uruskan jodoh kau kut? Nikah kahwin ni, bukan perkara main-main tau? Semua orang kalau boleh, nak perkahwinan mereka sampai ke Jannah."
"Itu kalau boleh. Tapi, jodoh pertemuan tu tetap di tangan ALLAH, kan? Kalau jodoh tak panjang, dah kahwin 50 tahun pun boleh bercerai tau?"
"Isy kau ni, jangan fikir negatif sangat."
"Kau pun, janganlah fikir negatif sangat yang lelaki pilihan mak aku tu tak boleh buat aku bahagia."
Hania mengenakan Marsha balik.
Marsha ketap bibir menahan geram. Ada sahaja jawapan dari kawan baiknya itu.
"Aku cuma bagi tahu kemungkinan yang boleh berlaku. Itu aje," ujar Marsha.
"Aku tahu kau risaukan aku. Tapi, tak mustahil kemungkinan untuk aku bahagia andai aku terima lelaki pilihan mak aku tu turut ada, kan? Manalah tahu, aku akan bahagia dengan lelaki yang aku tak pernah kenal tu?"
"Kalau kau dah cakap macam tu, terserah kaulah."
Perbualan tergendala seketika. Hania mencapai semula gaun di hadapannya. Dia menyambung semula kerjanya menjahit manik yang tergendala tadi. Walaupun hatinya masih berduka lara kerana putus cinta dengan Syamim dan tertekan dengan rancangan emaknya, kerja tetap perlu disiapkan.
"Oh ya, kau tak pernah ke ushar abang Faiz dekat kedai hardware depan tu? Aku tengok dia tu bukan main mesra layan kau. Pantang kau atau kita berdua melepak dekat restoran Abang Tam, ada aje dia menempek dekat sana," tanya Marsha menukar topik perbualan.
Berkerut dahi Hania mendengar pertanyaan Marsha itu. Tangannya terhenti dari memasukan manik ke dalam jarum.
"Abang Faiz a.k.a abam sado tu? Isy, aku dengan dia kawan ajelah. Kau lupa yang gambar dia pernah viral dekat Facebook sebelum ni? Abam sado yang menjadi perhatian sebab badan dia mantap lagi sasa. Mesti perminat berduyun. Tak kuasalah aku nak ushar dia."
Belum apa-apa Hania sudah menolak. Kerjanya kembali disambung.
"Helo, gambar dia viral pun sebab ada orang curi-curi ambil gambar dia lepas tu upload dekat Facebook. Bukannya dia yang upload gambar dia sendiri, kan? Tapi, dari apa yang aku tengok dari mata kasar aku yang bercelak, bereye shadow dan berbulu mata palsu ni, abang Faiz tu macam ada perasaan pada kaulah."
Marsha meluahkan pendapatnya dari apa yang dia lihat selama ini.
"Isy kau ni, merepek ajelah. Dah, kau jangan nak buat spikulasi mengarut kau tu," tepis Hania tidak boleh terima kenyataan Marsha.
"Betul Hani," Marsha menghadapkan tubuhnya ke arah Hania. "Dari cara dia pandang kau, cara dia cakap dengan kau, aku nampak sesuatu. Bibir dia tu akan senyum berseri-seri setiap kali tengok muka kau. Tak ke tu tandanya dia ada feeling dekat kau? Kau aje tak perasan," sambungnya dengan tebakan. Yakin sungguh dia dengan tebakannya itu.
"Dah, kau jangan nak merepek. Abang Faiz tu badan sado, for sure peminat dia berderet. Dia boleh pilih yang lebih cantik dan ayu dari aku. Silap-silap lelaki pun suka dekat dia tau?"
"Eleh... merendah diri sangatlah pulak. Kau belum cuba ushar dia, kan? Mana tahu tebakan aku tadi mengena? Tak ke kau yang bahagia nanti? Bukannya kau tak kenal dengan abang Faiz tu pun, kan? Mesti anak kau dengan dia comel-comel nanti."
Marsha sudah merepek jauh.
"Sudah! Baik kau pergi buat kerja kau siapkan baju tunang yang mak datin tu tempah minggu lepas. Merepek tak habis-habis kau kat sini."
Hania malas mahu memanjangkan isu abang Faiz lagi.
"Elehhh... konon-konon tak sukalah tu? Mulut kau aje kata tak suka, tapi pipi kau tu tiba-tiba merah dah kenapa?" Marsha mempersoal lalu bangkit berdiri dan berlalu menuju ke bilik kerja untuk menyiapkan kerjanya.
"Diamlah! Merepek tak habis-habis!" pekik Hania, memintas bebelan Marsha yang masih bersisa. Tangannya kembali laju menjahit manik pada gaun di ribanya. Seketika kemudian, dia terdiam sambil mindanya ligat berfikir.
"Haah ek, kenapa aku tak terfikir fasal abang Faiz yang sado tu?" dia tertanya sendirian dalam kehairanan.
***********
SEPERTI yang diduga, ajakan mamanya untuk makan tengah hari bersama terselit satu agenda yang sudah sering kali diulang-ulang seperti pita kaset yang diulang main. Hendak tidak hendak, terpaksa jugalah dia menahan telinga. Yang membebel itu mamanya, bukan orang lain. Jika orang lain, sudah pasti sejak tadi dia sudah meninggalkan ruang makan itu.
"Jadi, kamu dengan model terkenal tu memang dah putuslah ya?" tanya Puan Zaidah ingin memastikan sebelum kembali ke topik utama mereka.
Saffarin yang sedang menghabiskan sisa makanannya tidak terus mejawab. Dipandang wajah mamanya sekilas sambil menelan habis sisa makanan di dalam mulut. Menurut mamanya, sepatutnya papa, adik kedua dan adik bungsunya turut makan tengah hati bersama mereka ketika ini. Tapi entah macam mana, hanya dia sahaja yang punya waktu senggang untuk pulang ke banglo papanya ini. Yang lain, sibuk dengan urusan masing-masing. Buat setakat ini, jarang sekali dia akan mengecewakan mamanya. Terutama hal-hal yang melibatkan ajakan makan tengah hari bersama. Dia akan cuba luangkan masa untuk penuhi permintaan atau jemputan mamanya.
Sudu dan garpu di letak di tengah pinggan. Dia sudah selesai makan. Kertas tisu di atas meja makan dicarik sehelai lalu hujung bibirnya yang sedikit berminyak dilap. Tidak dinafikan, masakan mamanya sentiasa sedap sejak dulu lagi.
"Ya ma," pertanyaan mamanya baru dijawab.
"Alasan yang samalah ya? Perempuan tu bukan citarasa kamu?" lanjut Puan Zaidah lalu menyuap suapan terakhir ke dalam mulutnya. Dia sudah sedia maklum dengan sikap anak sulungnya itu. Tidak pernah kekal lama jika bercinta. Rasanya, baru enam bulan lepas anaknya itu putus cinta. Hari ini, dia kejutkan lagi dengan khabar yang sama. Tapi, rasa terkejut itu tidaklah sehebat ketika kali pertama dan kedua dahulu. Seolah dia sudah terbiasa dengan khabar putus cinta dari anak sulungnya itu.
Saffarin hanya mengangguk. Air oren di hadapannya diteguk sedikit bagi melancarkan salur makannya.
"Dari dulu mama perhatikan sikap kamu, Farin. Kamu tak pernah kekal dengan seorang perempuan. Kamu ni playboy ke?" Puan Zaidah meluahkan kemusykilan di hatinya.
"Isy mama ni. Playboy tu, lelaki yang duk ngurat perempuan sana sini. Bila dia dah dapat apa yang dia nak, dia tinggalkan perempuan tu. Kes Farin ni lainlah ma. Perempuan-perempuan tu yang beria-ia nak dekat Farin, bukan Farin yang nak dekat dia orang," jelas Saffarin, membela dirinya sendiri. Dia bukan playboy!
"Dah tu, tak kan dalam ramai-ramai perempuan yang suka dekat kamu tu seorang pun tak ada yang kamu berkenan? Seingat mama, perempuan-perempuan yang minat dekat kamu tu bukan calang-calang, kan?"
"Ya mama, tu Farin akui. Tapi, dah Farin tak boleh nak cintakan dia orang, lebih baik Farin lepaskan dia orang, kan?"
Puan Zaidah mengeluh berat sambil mengeleng kepala. Minumannya diteguk sedikit.
"Dah tu, kamu yakin dengan keputusan kamu nak ikut rancangan mama ni?" Puan Zaidah kembali ke topik utama mereka tadi.
Saffarin tidak terus menjawab. Lama dia memandang wajah mamanya. Rasanya dia sudah malas mahu mencari atau memilih mana-mana wanita untuk dijadikan isterinya. Umurnya tahun ini sudah 34 tahun. Jika dia terus berlengah-lengah, pasti mamanya itu akan terus berleter dan terus berleter tentang hal jodohnya. Dalam masa yang sama hatinya masih berbelah bahagi sejak tadi.
"Kalau itu yang mama rasa terbaik bagi Farin, teruskanlah. Farin ikut aje segala rancangan mama."
Dia memilih untuk mengikut rancangan mamanya yang telah mereka bincangkan awal-awal tadi.
"Kamu tak kisah siapa pun perempuan yang mama pilihkan untuk kamu?"
Sekali lagi Saffarin berbelah bahagi hendak menjawab soalan mamanya itu. Andai pilihan mamanya lebih teruk dari perempuan-perempuan yang pernah menjadi kekasih sekejapnya sebelum ini bagaimana? Adakah dia bisa menerima dengan hati yang terbuka? Rancangan mamanya bukan untuk mencarikan dia seorang kekasih, tetapi untuk mencarikan dia seorang... isteri! Kekasih dan isteri dua hubungan berbeza! Dia perlu sedar akan hakikat itu.
"Farin yakin dengan pilihan mama. Tak kan mama nak pilih perempuan yang tak elok untuk anak mama ni, kan?" soal Saffarin kembali sekadar ingin menyedapkan hatinya sendiri. Hakikatnya, di kalbunya sudah keresahan dan kebimbangan andai wanita pilihan mamanya tidak seperti yang dia harapkan.
"Tak elok tu, mungkin tak. Kalau tak sempurna itu, semestinya pasti. Mana ada manusia yang sempurna dalam dunia ni, Farin. Andai perempuan pilihan mama tu tak seperti yang kamu harapkan, itulah dinamakan cabaran. Tujuan perkahwinan ni adalah untuk melengkapi apa yang kurang pada pasangan kita. Robot pun ada masanya bermasalah, inikan pula masnusia. Masakan pantai berubah kalau tak ada ombak, betul tak? Laut tu tak selalunya tenang, ada kalanya bergelora kencang. Begitulah dengan kehidupan berumah tangga, Farin."
Saffarin terpunduk mendengar kata-kata mamanya itu. Itulah salah satu sikap mamanya yang selalu menenangkan jiwanya dan membuatkan dia tidak tegar hendak melawan setiap kata-kata mamanya. Mamanya itu sering menasihatkan setiap anak-anaknya dengan kata-kata yang indah dan penuh kelembutan. Bisa sahaja membuatkan hati yang terbakar menyejuk dalam sekelip mata.
"Kalau ada pergaduhan, peselisihan faham dan sebagainya dalam hubungan suami isteri, itu normal Farin. Dugaan yang ALLAH turunkan tu, untuk menguji kesetiaan dan menguatkan lagi sesuatu hubungan tu. Setiap yang dirancang DIA dah tetapkan hikmahnya," sambung Puan Zaidah, tenang.
Bukan dia mahu memaksa, dia hanya mahu lakukan yang terbaik untuk anak sulungnya itu. Usia anak sulungnya itu bukannya masih muda. Sudah mencecah 34 tahun. Sepatutnya anak sulungnya itu sudah berkahwin dan mempuinya anak ketika ini. Dia teringin ada cucu!
Saffarin terus mendengar dan diam seribu bahasa. Tiada apa-apa yang ingin dibidas. Setiap kata-kata pesanan mamanya semuanya benar. Tiada apa yang ingin dipertikaikan.
"Sekali lagi mama nak tanya pada kamu. Kamu betul-betul yakin dengan keputusan kamu? Mama tak naklah dikatakan memaksa."
Saffarin mengangkat wajah memandang mamanya untuk seketika. Wajah bening mamanya berjaya melembutkan hatinya.
"Farin yakin dengan keputusan Farin, ma," jawab Saffarin, tenang.
Puan Zaidah tersenyum tipis.
"Kalau macam tu, mama akan rancangkan semuanya dalam masa terdekat. Apa-apa hal nanti, mama call kamu ya?" balas Puan Zaidah, gembira tidak terkata.
"Baiklah ma. Emmm... dah lewat dah ni ma. Farin rasa Farin kena balik butik dulu," balas dan pinta Saffarin sambil memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 2.00 petang. Sepatutnya dia sudah ada di pejabatnya bagi menyiapkan rekaan terbarunya yang masih tergendala.
"Kalau macam tu, baiklah," akur Puan Zaidah lalu mengekori langkah anak sulungnya menuju ke muka pintu utama banglo.
Selesai memakai kasut, Saffarin menghulur tangan untuk bersalaman dengan mamanya di muka pintu.
"Farin minta diri dulu ma. Ada masa Farin datang lagi," pamit Saffarin selepas mengucup hormat tangan mamanya.
"Yalah. Ada masa terluang datanglah jenguk-jenguk mama dekat banglo ni. Semenjak kamu duduk dekat kondo tu, susah benar kamu nak balik sini, jeguk mama dan papa," pesan Puan Zaidah.
"Insya-ALLAH, Farin pergi dulu, assalamualaikum."
Saffarin terus melangkah menuju ke keretanya.
Puan Zaidah menanti sehingga kelibat kereta anaknya hilang dari pandangan mata, barulah dia melangkah masuk ke dalam banglo. Senyum di bibirnya semakin meleret. Langkah diatur menuju ke arah meja perhiasan di sebelah ruang makan. Telefon pintarnya dicapai lalu nombor seseorang didail. Seketika kemudian, telefon ditekap ke telinga.
"Assalamualaikum Puan Suzana," sapanya terlebih dahulu selepas talian disambungkan. Senyumannya semakin meleret hingga ke telinga. Rancangannya sudah dimulakan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Mantap
HAZEL JAY
Novelis
Minat menulis dan berkarya demi berkongsi setiap rasa, imaginasi dan pengelaman yang ada. Moga di setiap ceritera yang direka punya yang indah untuk dimiliki dan dihayati. Salam wasilah...
- NamaHazel Jay
- LahirJohor, April 1986
- FacebookHazel Jay
- WattpadHazel Jay
Johor, Malaysia
Hazel Jay
Latar
Profile Saya
- NamaHazel Jay
- LahirJohor, April 1986
- AlamatJohor, Malaysia
- FacebookHazel jay
- WattpadHazel Jay
Bakat
Web Design | Grafik
- HTML
- Photoshop
- Video
Latar Belakang
Nama pena Hazel Jay...
Menjadikan penulisan novel sebagai karier dan bidang yang diminati demi berkongsi rasa dan imaginasi yang ada...
Latar Belakang
2007 - Sekarang
Novelis
Sudah mula berkarya sejak tahun 2007 sehinggalah sekarang.
2008 - Sekarang
Pereka Grafik separuh masa
Gemar dalam bidang rekaan grafik dan seni kereatif. Masih berlajar dari masa ke semasa. Juga minat dalam bidang IT serba sedikit.
1993 - 2007
Sekolah
SR 1993 - 1998, SMK 1999-2007, Diploma 2004-2007, Lanjutan Diploma 2008 - 2009
Karya
-
Kisah percintaan di antara Saffarin dan Hania yang tanpa diduga dan...
Lanjut... -
Akan datang...
Nantikannya... -
Akan datang...
Nantikannya... -
Akan Datang...
Nantikannya... -
Akan Datang...
Nantikannya.. -
Akan Datang...
Nantikannya...





Tiada ulasan:
Catat Ulasan