Dikuasakan oleh Blogger.
Ahad, 30 Ogos 2015
Hazel Jay ~ Encik Suamiku Hipster - Bab 03
LEWAT pagi itu, Puan Zaidah telah bertemu dengan kawan baiknya sejak di sekolah menengah lagi di O'briens Irish Sandwich Cafe untuk membincangkan hal rancangan menjodohkan Saffarin dengan perempuan pilihannya. Dia berharap, rancangan yang pernah dia rancang dengan kawan baiknya itu tidak mengundang masalah.
Mereka berdua sekadar memesan Tuna Swiss Melt dan Irish Muffin. Manakala minuman pula, mereka memesan minuman yang sama iaitu, Cappucinno. Cukuplah menu itu sebagai juadah makan pagi mereka ketika ini.
"Tak sangka, gerak hati kita sama, kan?" tanya Puan Zaidah sambil meletak cawan berisi Coppucinno panasnya di atas piring selepas dihirup sedikit isinya.
"Tulah, saya ingatkan nak call awak semalam, tapi bimbang pulak anak awak tu dah ada kekasih. Tak sangka, tengah hari semalam, awal call saya terus tanyakan fasal rancangan kita yang pernah kita pelan dulu. Tak sangka rancangan tu bakal menjadi kenyataan, kan?" balas Puan Suzana sambil tergelak kecil. Terasa bagai satu rahmat yang terindah bila rancangannya bagai dipermudahkan Tuhan.
Puan Zaidah turut tergelak.
"Itulah fasal, tak sangka pelan kita tu menjadi sekarang ni. Masa anak saya bersetuju dengan rancangan saya semalam, saya terus teringat awak. Rezeki saya bila awak bagi tahu awak pun tengah carikan jodoh untuk anak awak. Bezanya, awak tengah mencarikan jodoh untuk anak bungsu awak, saya pula tengah carikan jodoh untuk anak sulung saya."
"Tulah, mungkin dah memang jodoh mereka berdua untuk bersama-sama kut? Sebab tu sampai sekarang masing-masing masih tak ada calon lagi. Tak gitu?"
"Betul-betul."
Puan Zaidah mengiakan lalu mereka tergelak bersama.
Begitulah mereka andai bersua. Ada sahaja topik perbualan ingin dibualkan. Cuma sejak masing-masing sudah berumah tangga, mereka berdua sudah jarang berjumpa. Andai ada kelapangan atau urusan penting seperti sekarang sahaja barulah mereka pelan untuk berjumpa secara bersemuka. Jika tidak, masing-masing terus sibuk menguruskan hal rumah tangga. Selepas ini, andai rancangan mereka menjadi, semakin keraplah mereka bersua muka.
"Saya pun tak tahulah apa masalah anak sulung saya tu, Na. Berpuluh perempuan suka dekat dia, seorang pun tak melekat untuk dijadikan bini. Umurnya dah masuk 34 tahun. Tapi, seorang girlfriend pun tak ada," luah Puan Zaidah tentang anak sulungnya. Tuna Swiss Meltnya mula dijamah.
"Jangan kata anak sulung awak, Dah. Anak bungsu saya pun sama juga. Dah ramai lelaki yang dia bawa balik kenalkan pada saya dan suami. Lepas beberapa bulan kemudian, putus. Saya tak faham dengan perangai anak bungsu saya tu. Entah badi apalah yang melekat pada dia."
Puan Suzana turut mengulas tentang anak bungsunya. Irish Muffinnya mula cuit sedikit dengan sudu kecil lalu disuap ke dalam mulut.
Puan Zaidah tergelak kecil. Buat seketika mereka menikmati juadah masing-masing.
"Kita ni, rancang pun, rancang jugak. Awak rasa, boleh ke anak awak tu terima anak saya, Dah? Yalah, anak awak tu pereka fesyen terkenal. Popular pulak tu. Anak saya tu setakat habis SPM aje. Kerja pun jadi tukang jahit manik dekat butik sepupu dia."
Puan Suzana meluahkan kebimbangannya. Dia sedar, diantara anak-anak perempuannya, Hania sahaja yang kurang minat belajar. Kakak-kakaknya yang lain semua ada diploma. Hania sahaja sekadar sijil.
Puan Zaidah menghabiskan sisa makanan di dalam mulutnya.
"Ala, tukang jahit manik dengan tukang jahit baju, kan tak jauh beza tu? Perempuan ni kalau belajar tinggi-tinggi pun, lepas kahwin, tetap duduk dekat rumah uruskan rumah tangga. Macam kita ni? Nak kerja, suami tak kasi."
"Betul!" pantas Puan Suzana menyokong.
"Tapi, yang nak kahwinnya nanti anak-anak kita, Dah. Saya risau cita rasa anak awak tak ada pada anak saya. Anak saya tu taklah cantik. Mekap pun dia tak pandai, inikan lagi nak bergaya sakan," sambung Puan Suzana, jujur. Dia tidak mahu menipu kawan baiknya itu. Lebih baik dia berterus terang tentang imej, kerjaya dan keperibadian anak bungsunya. Dia tidak mahu dituduh sebagai penipu di kemudian hari.
"Ala... semua tu boleh belajar. Mereka kena anggap semua tu sebagai cabaran. Saya rasa anak-anak kita ni sebenarnya memilih, sebab tu sampai sekarang tak ada kekasih lagi. Terutama anak saya tu, Na. Memilih sangat. Sekurang-kurangnya kalau dia kahwin dengan anak awak yang mungkin tidak kena dengan cita rasa dia, bolehlah buat dia sedar yang dalam dunia ni tak ada manusia yang sempurna seperti yang dia nak."
Terangguk-angguk Puan Suzana selepas mendengar kata-kata kawan baiknya itu. Dia bersetuju dengan kata-kata Puan Zaidah itu. Mungkin dengan cara ini bisa mengajar dan menyedarkan anak masing-masing akan realiti kehidupan yang sebenar. Hidup ini bukannya selalu indah. Bukannya kita sentiasa akan dapat apa yang kita inginkan. Terkadang kita perlu berusaha untuk memiliki apa yang kita inginkan supaya kita lebih menghargai apa yang kita ada.
"Terfikir juga saya, kalau lepas dia orang kahwin, hubungan dia orang jadi huru hara, macam mana? Saya risau sangat kalau anak saya tu, tak dapat nak penuhi kehendak anak awak. Yalah, anak saya tu perempuan, buatnya dia tak pandai langsung nak uruskan rumah tangga macam mana?" Puan Suzana masih bimbang.
Mananya tidak? Anak bungsunya sejak awal-awal sudah bagi amaran akan menyalahkan dia andai rancangannya gagal. Dia tidak mahu semua itu berlaku. Andai hidup anaknya berantakan disebabkan rancangannya, pasti dia akan disaluti rasa bersalah seumur hidup.
"Insya-ALLAH, Na. Apa yang kita rancang ni sesuatu yang baik. Bukannya kita rancang sesuatu yang tak baik untuk mereka, kan? Dalam masa yang sama, kita sebagai ibu terus berdoa supaya mereka berdua boleh terima kekurangan diri masing-masing dan hidup aman bahagia selamanya."
Puan Zaidah cuba mengusir keresahan Puan Suzana. Bukanlah dia tidak bimbang andai rancangan mereka bakalan gagal. Sejujurnya dia turut bimbang dan cemas. Tapi, andai niatnya ikhlas mahu menyatukan anaknya dan anak kawan baiknya itu dengan satu ikatan yang sah, pasti ALLAH akan memudahkan urusan mereka. Dia sebagai seorang ibu turut akan sama-sama membantu kelak.
Puan Suzana angguk faham. Terusir sedikit rasa resah dan kebimbangannya selepas mendengar kata-kata kawan baiknya itu.
Perbualan terhenti seketika. Masing-masing kembali menjamah makanan.
"Kita ni, pelan, pelan jugak. Awak rasa, bila kita nak mulakan pelan kita ni?" tanya Puan Suzana, mengalihkan sedikit topik perbualan. Tetapi tajuknya masih sama, menikahkan anak masing-masing.
Puan Zaidah tidak terus menjawab. Makanan di dalam mulutnya ditelan sehingga habis terlebih dahulu.
"Awak rasa bila? Saya serahkan pada awak sebab awak di pihak perempuan." Puan Zaidah memberi jawapan selamat.
Puan Suzana terdiam sejenak sambil berfikir.
"Kalau awak tanya saya, sah-sah saya nak mereka cepat-cepat dinikahkan. Tapi saya tak nak tergesa-gesa. Kalau boleh kita ikut adat. Bertunang dulu kemudian menikah. Kita bagi tempoh tiga bulan untuk mereka bertunang supaya mereka boleh kenal hati budi masing-masing terlebih dahulu sebelum menikah. Okey tak cadangan saya tu?"
Lama Puan Zaidah terdiam. Dia memikirkan semula cadangan kawan baiknya itu sambil menyuap lagi Tuna Swiss Melt ke dalam mulutnya.
"Elok juga macam tu. Jadi, bila awak rancangan nak tunangkan anak awak dengan anak saya?"
"Dua minggu dari sekarang, boleh?" pantas Puan Suzana menjawab dengan senyum luas. Padanya, lagi cepat lagi bagus. Dia berharap kawan baiknya itu bersetuju dengan cadangannya.
***********
"ABANG Tam, macam biasa ya? Nasi goreng USA tapau satu, dengan milo ais ikat tepi," pesan Hania pada Abang Tam selaku bos restoran itu.
"Okey Hani," balas Abang Tam sambil mengangkat ibu jari menandakan pesanan Hania sudah diterima.
Hania duduk di salah satu kerusi yang ada berhampiran dengan kaunter pembayaran. Kebiasaannya dia akan makan di restoran ini bersama Marsha. Memandangkan kawan baiknya itu terpaksa ke Bukit Bintang atas urusan kerja, terpaksalah dia membungkus makanan kegemarannya dan makan di butik sahaja. Terasa janggal makan sendirian di restoran ini tanpa Marsha.
"Assalamualaikum," sapaan itu menganggu fakus Hania yang sedang melihat 'wall' akaun Facebooknya melalu telefon pintar. Pantas dia mengangkat wajah memandang ke arah insan yang memberi salam itu.
"Waalaikumusalam. Abang Faiz rupanya," jawab Hania dengan senyuman manis. Melihatkan wajah lelaki itu terus terputar kembali kata-kata Marsha mengenai lelaki itu sebelum ini. Terus dia terasa janggal.
"Boleh abang duduk sini?" tanya Faiz, si abang sado sambil menghala jari telunjuknya pada kerusi kosong di hadapan Hania.
"Boleh, duduklah," balas Hania, senang hati tanpa ada rasa terganggu. Namun, rasa janggal itu tetap ada selepas apa yang Marsha katakan tentang lelaki itu semalam.
Faiz tersenyum gembira lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi di hadapan Hania.
"Abang baru nak makan ke ni?" tanya Hania sekadar berbasa basi. Telefon pintarnya masih ditatap skrinya.
"Haah, abang bungkus aje. Masa order tadi abang ternampak Hani dekat sini, tu yang datang tegur. Marsha tak makan sekali? Biasanya Hani dengan dia?" jawab Faiz disusuli soalan sambil meliarkan pandangan ke arah sekitar restoran tepi jalan itu mencari kelibat Marsha yang tidak kelihatan. Sebenarnya dia sudah mengenali Hania dan Marsha sudah lama. Sejak dua wanita itu membuka butik di kawasan ini beberapa tahun lalu. Sebab itu hubungan mereka agak akrab.
"Dia ke Bukit Bintang, cari barang untuk baju dia katanya," jawab Hania tanpa mengangkat wajah.
Diam. Perbualan terputus seketika. Faiz kelihatan seolah ingin bertanyakan sesuatu. Tapi dia bimbang soalan yang bakal dia ditanyakan akan mencuit atau merobek hati wanita di hadapannya itu.
"Han..."
"Abang tak pergi gim hari ni?" pintas Hania sebelum sempat Faiz mengutarakan apa yang dipendam.
Hania terasa janggal bila mereka terlalu lama berdiam dengan lelaki berbadan sasa di hadapannya itu.
"Gim? Pergi. Biasanya abang pergi gim waktu malam. Lepas kerja."
Hania angguk faham.
"Emmm... abang nak tanya sesuatu pada Hani boleh?" cepat-cepat Faiz memintas.
"Tanya apa abang?" Hania memandang Faiz, serius.
Serba salah pula Faiz mahu meluahkan apa yang dia pendamkan ketika ini. Tapi, andai dia pendam, bimbang terbekam pula di hati.
"Kelmarin... Masa abang balik dari gim, abang ternampak Syamim dengan sorang perempuan. Dia orang baru keluar dari GSC. Nampak mesra. Abang ingatkan perempuan tu Hani. Bila abang tegur, rupanya orang lain. Perempuan tu, adik dia ke?"
Walaupun rasa serba salah, dia tetap meluahkan kemusykilannya. Setahunya, Syamim itu kekasih Hania. Hania sendiri memperkenalkan Syamim itu sebagai kekasihnya beberapa bulan lalu. Jadi, bila dia melihat Syamim bersama perempuan lain dalam keadaan yang agak mesra, telah mengundang rasa musykil di kalbunya. Dia bimbang Syamim telah menipu Hania.
Bagai ada petir yang menyambar hati Hania selepas mendengar kata-kata Faiz itu. Rentung! Sekarang dia sudah tahu, sebab apa Syamim meninggalkannya. Mahu sambung belajar ke Dublin itu hanya alasan lelaki itu sahaja rupanya! Hendak marah pun sudah tidak berguna. Hal yang sudah berlalu, biarlah pergi. Lagipun, Syamim sudah menjadi sejarah dalam hidupnya. Yang perlu dia lakukan sekarang adalah bersiap sedia dengan rancangan emaknya. Apa yang pasti Syamim tidak pernah ada adik perempuan!
Roman terkejut di wajah Hania diusir dengan secalit senyuman tipis di bibirnya. Walaupun hatinya masih pedih atas apa yang Syamim lakukan terhadapnya, dia cuba menerima semua ini sebagai takdir hidupnya dengan hati terbuka.
"Maafkan abang kalau abang tanya soalan merepek tu. Kalau Hani tak nak jawab pun tak apa. Abang tak paksa. Maaf kalau abang buat Hani sedih," pohon Faiz beria-ia sekali. Dia bimbang dia akan dibenci Hania. Dari reaksi wajah terkejut Hania tadi, dia sudah mendapatkan jawapannya.
"Tak ada apalah abang. Sebenarnya saya dengan Syamim dah tak ada apa-apa. Kita orang dah putus," jujur Hania menjawab. Sengaja dia tidak menjawab soalan Faiz tadi. Dia tidak mahu membuka aib orang. Tak elok!
"Oh ya ke? Maafkan abang, abang tak tahu." Pohon Faiz lagi, betul-betul rasa bersalah.
"Tak apalah abang."
"Hani, nasi goreng USA dan milo ais dah siap."
Suara Abang Tam dari arah kaunter pembayaran mencelah perbualan mereka.
"Okey!" balas Hania sambil mengangkat ibu jari ke arah Abang Tam.
"Okeylah Abang Faiz, makanan saya dah siap. Saya nak balik butik dulu. Ada masa kita berborak lagi ya?" pamit Hania lalu bangkit berdiri dan melangkah menuju ke kaunter pembayaran.
Faiz angguk membenarkan. Hania terus dipandang sehinggalah kelibat wanita itu hilang dari pandangan matanya.
"Kalaulah aku boleh mengisi ruang hati kau, Hani," keluh Faiz perlahan dalam kepiluan. Tanpa sedar, selama ini dia telah memendam perasaan pada Hania.
**********
KE hulu ke hilir dia di ruang depan butiknya itu menanti Hania yang masih belum memunculkan diri. Khabar gembira yang baru dia terima sebentar tadi benar-benar buat dia sasau dan tidak tentu hala. Dia sangkakan, tempoh masa yang akan diberikan kepadanya untuk menyiapkan rekaan bajunya, lama. Rupa-rupanya hanya seminggu! Maklumlah, ini kali pertama dia menyertai pertandingan rekaan fesyen itu. Tidak sangka pula begini syarat-syaratnya.
"Isy, manalah si Hani ni pergi?" rungutnya sendirian dalam kegelisahan.
"Sherry, betul ke Hani keluar beli makanan?" tanyanya pada pekerjanya yang sedang menjahit pakaian pelanggan tidak jauh dari ruang depan butiknya itu.
"Betullah kak, dia yang kata nak tapau makanan dekat restoran Abang Tam tu. Sekejap lagi dia muncullah tu. Yang akak gelisah semacam ni apa hal?" jawab Sherry sambil menetas lebihan benang pada baju yang dijahitnya. Sempat dia bertanya di hujung kata-katanya.
"Adalah masalahnya. Fasal pertandingan mereka fesyen tulah," jawab Marsha lalu kembali ke hulu ke hilir di ruang depan butiknya itu. Bukan main gelisah dia ketika ini.
Sherry hanya mencebik bibir dan malas mahu bertanya lanjut. Banyak lagi kerjanya yang perlu disiapkan sebagai tukang jahit kedua di butik ini.
Tiga puluh saat kemudian, Hania muncul dengan lenggang kangkung bersama bukusan makanan di tangan. Siap menyanyi-nyanyi lagi. Masuk sahaja dia ke dalam butik serba putih itu, dia tergamam bila melihat Marsha sedang memandangnya dengan wajah tidak puas hati sambil bercekak pinggang. Hujung kaki kanannya kelihatan sedang menghentak-hetak perlahan jubin butik.
"Eh, apa hal kau tengok aku macam tak puas hati ni wei? Dah kena sawan?" tanya Hania, biasa. Sedikit pun dia tidak cuak dengan wajah marah Marsha ketika ini. Plastik berisi makanan dan minuman di tangannya diletak di atas meja kopi di ruang santai.
"Ke mana kau pergi? Lama aku tunggu kau tau?" serius Marsha bertanya.
"Kau ada nampak aku bawa balik lembu seekor ke tadi? Dah sah-sah aku bawa balik makanan, kan? Tu maknanya aku baru balik dari beli makanan untuk lunch aku dekat kedai makan Abang Tam, faham?" jawab Hania, tidak puas hati bila dengan tiba-tiba dia seolah dipersalahkan. Punggung dilabuh di atas sofa yang ada lalu plastik berisi makanan dan minuman yang dibelinya tadi dicapai.
"Sekejap, kau jangan makan dulu," tahan Marsha lalu dia duduk di sebelah Hania.
Terkejut Hania dengan tindakan kawan baiknya itu.
"Kau ni dah kenapa Sha? Serius aje dari tadi? Ada perkara pelik dah berlaku pada kau ke?" tanya Hania, hairan lagi pelik. Aneh sungguh sikap Marsha ketika ini. Berbeza dari pagi tadi.
"Tak ada apa-apa yang pelik berlaku. Aku ada dapat e-mel tadi. Cuba kau teka, aku dapat e-mel dari siapa?"
Dari wajah marah terus berubah wajah teruja. Terasa tidak sabar pula dia mahu berkongsi berita gembira itu dengan Hania.
Bekerut dahi Hania melihat keterujaan Marsha.
"Motif, nak main teka-teki sekarang ni? Aku tengah lapar kau tahu tak? Otak aku tak boleh nak fikir apa-apa."
Sherry tidak jauh dari mereka hanya mengeleng kepala melihat gelagat dua sekawan itu.
Marsha buat wajah bosan. Sentap hatinya bila Hania tidak mahu meneka.
"Aku dapat e-mel dari pengerusi pertandingan reka fasyen sempena Kuala Lumpur Fashion Week tu. Dia orang bagi tahu, yang design baju aku layak ke peringkat akhir!" Hendak tidak hendak terpaksa juga Marsha berterus-terang. Main teka-teki dengan Hania, selalu sahaja tidak menjadi.
"Serius?" Hania ingin memastikan.
Beria-ia Marsha mengangguk penuh teruja.
"Wah!!" serentak Marsha dan Hania menjerit kesukaan lalu mereka berpelukan buat seketika.
"Tahniah beb, sebab kau berjaya ke final. Aku dah agak rekaan kau tu memang boleh pergi jauh. Kau aje yang tak yakin diri," ujar Hania selepas pelukan terlerai.
"Tapi..." wajah teruja Marsha terus berubah muram.
"Tapi kenapa pulak?"
Hania cemas. Ini peluang terbaik bagi Marsha untuk memperkenalkan rekaan bajunya pada dunia. Andai dia menang, ia boleh dijadikan sebagai bantu loncatan untuk kawan baiknya itu lebih berjaya dalam bidang ini di masa akan datang.
"Dia orang bagi tempoh seminggu untuk aku siapkan design aku. Minggu depan aku dah kena show off baju yang dah siap jahit dekat malam gala fashion week tu."
"Laa... aku ingatkan apalah tadi. Kau kena buat sehelai baju aje kan? Bukannya kena buat 10 helai pun. Aku tengok peserta dekat rancangan realiti TV Project Runway tu, dalam seminggu dia orang boleh buat baju lebih sepuluh helai. Takkan kau yang ada sarjana muda dalam rekaan dan pembikinan baju ni tak boleh siapkan sehelai baju dalam seminggu kut?"
Hania mempertikai. Dia yakin, kawan baiknya itu bisa siapkan pakaiannya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Okey, mungkin aku boleh siapkan baju aku tu dalam tempoh seminggu dengan bantuan kau. Tapi, aku ada masalah lain."
"Masalah lain?"
Dahi Hania kembali berkerut kehairanan.
"Ya, ada masalah yang lebih besar dari masalah baju aku yang tak dibuat lagi tu. Kalau masalah aku yang satu ni tak dapat nak disettlekan, memang aku kena tarik dirilah gamaknya dari pertandingan tu."
Serius sungguh nada suara dan riak wajah Marsha ketika ini. Sehingga membuatkan Hania semakin cemas.
"Masalah apa pulak ni? Kau tak ada modal nak beli kain ke? Kau janganlah guna kain Prada ke apa. Memanglah mahal. Kau beli kat Kamdar ke, Jakel ke, murah sikit. Bak kata Che Ta, ingat kain, ingat Jakel."
"Bukanlah!" pantas Marsha memintas. "Amboi, bukan main hebat kau promote barang orang, kan? Berapa bayak dia orang bayar kau promote jenama dia orang?" sambungnya.
Hania tersengih kerisin sambil mengaru belakang kepalanya yang tidak gatal.
"Dah tu, apa masalah kau yang sebenarnya."
"Masalah aku yang sebenarnya adalah, aku tak ada model untuk peragakan baju aku tu pada malam gala tu nanti. Kalau baju siap pun, tapi tak ada model yang nak gayakan, tak guna jugak, kan? Nak aku jadi model untuk baju aku aku sendiri, memang taklah. Dah sah-sah ketinggian tubuh aku hanya 160 sentimeter aje," jawab Marsha seolah dalam satu nafas. Macam tak ada titik atau koma!
"So?" tanya Hania, mula menghidu sesuatu.
"So, dengan segala hormatnya aku nak kau jadi model aku sebab ketinggian badan kau memang ngam-ngam tinggi model untuk peragakan baju aku malam tu. Bolehlah, bolehlah... please..." rayu Marsha sambil mengerdipkan kelopak matanya berkulang kali sabil ukir memek wajah comel.
"Apa?" terkejut bukan kepalang Hania dibuatnya.
**********
LAGU Hooked On A Feeling nyanyian semula Blue Swede berkumandang spara kuat melalui earphone yang disumbat ke dalam telinganya. Memang sejak dulu lagi dia memang lebih mengemari lagu-lagu retro yang punya sentimental tersendiri jika didengar. Salah satunya lagu yang digemarinya adalah lagi Gooked On A Feeling nyanyian asal B. J. Thomas yang sedang didengarinya melalui I-Podnya ketika ini.
Dia sedang melangkah menuju ke arah Lot 10 yang tidak jauh dari Pavilion. Sudah menjadi kebiasaan baginya setiap petang akan ke Celebrity Fitness yang berada di roof top Lot 10 untuk keluarkan peluh dan membentuk otot tubuhnya yang semakin kekar dan sasa. Sebagai pereka fasyen dan sering muncul di khalayak ramai dan menjadi perhatian orang ramai, penampilannya perlulah dijaga. Disebabkan jarak Pavilion ke Lot 10 tidaklah jauh mana, dia memilih untuk berjalan kaki sahaja.
Tersangkut beg galas berisi pakaiannya untuk dipakai semasa di gim nanti di tangan kanannya. Kala ini dia masih berkemeja, berseluar slek ketat dan berkasut kulit hitam menuju ke arah Lot 10 yang tinggal beberapa meter sahaja di hadapannya.
Keadaan jalan raya dan kawasan pejalan kaki juga agak sesak ketika ini. Maklumlah, waktu sekarang waktu puncak untuk mereka-mereka yang mencari rezeki di ibu kota ini mula bergerak untuk pulang ke rumah masing-masing. Jadi, semua jalan yang ada kelihatan sesak dengan manusia dan kederaan menuju ke destinasi yang dituju. Keadaan dan pemandang yang biasa untuk mereka yang sudah lama bekerja dan tinggal di kota metropolitan ini.
Telefon pintar di dalam poket seluarnya terasa bergetar. Itu menandakan ada panggilan masuk atau mesej baru diterima. Dalam langkah dia mengeluarkan telefon pintarnya. Mesej baru dari Ery yang bertanyakan keberadaannya. Dia sekadar membalas yang dia dalam perjalanan menuju ke gim dan tidak akan ke butik semula. Selesai sesi senaman di gim nanti, dia akan terus pulang ke kondominiumnya.
Lagu menerusi I-Podnya mula bertukar kepada lagu I Want You Back nyanyian The Jackson 5. Dia bagai berada di dalam dunianya sendiri ketika ini. Dalam langkah, dia mengoyangkan kepalanya mengikut rentak bit lagu yang sedang didengar. Semasa dia menyusuri laluan pejalan kaki untuk menuju ke arah pintu utama Lot 10, sekali lagi telefon pintarnya bergetar. Kali ini bukan mesej ringkas, sebaliknya panggilan dari mamanya.
Alat earphone ditanggalkan lalu panggilan itu dijawab.
"Assalamualikum, mama," sapa Saffarin terlebih dahulu selepas talian disambungkan. Dia terpaksa menguatkan sedikit nada suaranya dek bunyi kenderaan yang agak bising di sekelilingnya.
Langkah terus disusun menuju ke arah pintu masuk pusat membeli belah Lot 10. Demi suasana yang sedikit tenang, dia terpaksa melangkah laju menuju ke dalam pusat membeli belah itu.
"Kenapa mama?"
Diam.
"Fasal rancangan mama tu? Kenapa?" tanya Saffarin, sedikit hairan.
Diam lagi. Saffarin terus mendengar apa yang mamanya bicarakan di hujung talian sambil langkah terus diatur menuju ke arah tangga bergerak.
"Apa? Mama nak Farin bertunang dua minggu dari sekarang?" tanya Saffarin, terkejut besar.
Mendadak dia memberhentikan langkahnya di ruang legar pusat membeli belah itu. Tanpa sedar dia telah melantangkan suaranya. Ada pengunjung di dalam pusat membeli belah itu mula memandang hairan ke arahnya. Tapi, dia tidak peduli semua itu. Perkhabaran yang barusan mamanya maklumkan padanya tadi benar-benar mengejutkan. Kenapa secepat itu? Hati kecilnya tertanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Mantap
HAZEL JAY
Novelis
Minat menulis dan berkarya demi berkongsi setiap rasa, imaginasi dan pengelaman yang ada. Moga di setiap ceritera yang direka punya yang indah untuk dimiliki dan dihayati. Salam wasilah...
- NamaHazel Jay
- LahirJohor, April 1986
- FacebookHazel Jay
- WattpadHazel Jay
Johor, Malaysia
Hazel Jay
Latar
Profile Saya
- NamaHazel Jay
- LahirJohor, April 1986
- AlamatJohor, Malaysia
- FacebookHazel jay
- WattpadHazel Jay
Bakat
Web Design | Grafik
- HTML
- Photoshop
- Video
Latar Belakang
Nama pena Hazel Jay...
Menjadikan penulisan novel sebagai karier dan bidang yang diminati demi berkongsi rasa dan imaginasi yang ada...
Latar Belakang
2007 - Sekarang
Novelis
Sudah mula berkarya sejak tahun 2007 sehinggalah sekarang.
2008 - Sekarang
Pereka Grafik separuh masa
Gemar dalam bidang rekaan grafik dan seni kereatif. Masih berlajar dari masa ke semasa. Juga minat dalam bidang IT serba sedikit.
1993 - 2007
Sekolah
SR 1993 - 1998, SMK 1999-2007, Diploma 2004-2007, Lanjutan Diploma 2008 - 2009
Karya
-
Kisah percintaan di antara Saffarin dan Hania yang tanpa diduga dan...
Lanjut... -
Akan datang...
Nantikannya... -
Akan datang...
Nantikannya... -
Akan Datang...
Nantikannya... -
Akan Datang...
Nantikannya.. -
Akan Datang...
Nantikannya...





Tiada ulasan:
Catat Ulasan