Dikuasakan oleh Blogger.
Ahad, 23 Ogos 2015
Hazel Jay ~ Encik Suamiku Hipster - Bab 01
BUNYI telefon pintarnya yang memekik sejak tadi benar-benar menganggu fokus kerjanya. Terganggu kosentrasi untuk mereka koleksi terbaru untuk butiknya. Ery, rakan baik merangkap pereka kedua yang duduk di kerusi sebeleh juga terasa terganggu dengan bunyi pekikan telefon pintar itu.
"Apa kata kau silentkan telefon kau tu kalau kau berhajad tak nak jawab? Menganggu betul," saran Ery sambil jeling siling. Meluat!
Sebagai pereka fesyen kedua di butik Hairy Saffarin Couture, dia memerlukan fokus dan kosentrasi yang tinggi untuk mencurah idea bagi koleksi terbaru Hairy Saffarin Couture yang bakal dilancarkan beberapa bulan lagi.
Saffarin hanya menjeling sekilas ke arah Ery sebelum kembali menyambung kerjanya. Telefon pintarnya yang memekik sejak tadi kembali senyap untuk entah ke berapa kali!
Ery hanya mengeleng. Dia tahu siapa yang sejak tadi menghubungi kawan baiknya itu.
Senyap seketika. Masing-masing fokus pada rekaan sendiri. Selepas hampir berbulan-bulan mereka berbincang dan mencari idea baru untuk koleksi terbaru butik Hairy Saffarin Couture, akhirnya mereka bersepakat memilih konsep hipster sebagai konsep utama koleksi terbaru mereka.
Hipster adalah sebutan untuk menggambarkan anak muda yang tinggal di kota besar, berada dalam kelas ekonomi menengah dan ke atas yang tertarik dengan produk budaya yang bukan 'mainstream' seperti fashion, muzik Indie, filem Indie atau apapun asalkan lain dari yang lain.
Istilah hipster biasanya diberikan kepada orang tertentu, diantaranya mereka yang suka tampil berbeza. Baik soal berpakaian, gaya rambut atau yang lainnya. Jika pakaian atau gaya rambut yang mereka gunakan sudah popular, mereka akan mengabaikan gaya itu dan mencari gaya yang lebih baru dan belum menjadi ikutan. Itulah gaya golongan hipster jika diikutkan dari istilahnya.
Memang kelihatannya agak susah untuk membezakan golongan hipster dan golongan bukan hipster. Apa-apa pun, hipster itu hanya satu gaya hidup untuk mereka yang sukakan sesuatu atau ingin tampil lain dari yang lain.
Itulah konsep yang telah dipersetujui oleh Saffarin dan Ery. Walaupun agak sukar untuk menghasilkan sesuatu rekaan yang menyerlahkan konsep hipster, mereka berdua akan cuba menghasilkan sesuatu yang nampak menarik dan bersesuaian dengan konsep yang dipilih.
"Kau rasa, dekat mana kina nak cekau model yang boleh carry konsep hipster kita ni?" tanya Ery selepas hampir dua minit terdiam. Tangannya masih laju mewarna salah satu rekaannya.
Soalan Ery itu tidak terus dijawab Saffarin. Lelaki itu menghabiskan dahulu mereka rekaannya. Rekaannya masih dilakar dengan menggunakan pensel mekanikal sebelum diterangkan dengan menggunakan pen hitam.
"Agensi modelkan banyak?" jawab Saffarin dengan soalan tanpa memandang Ery.
"Memanglah agensi model dekat KL ni berlambak. Tapi stok model lelaki dia orang tak banyak. Kebanyakannya asyik muka sama aje. Lagipun, kau nak model lelaki yang muka petak dan ada jambang, kan?" soal Ery kembali, meluahkan permasalah mereka ketika ini.
"Hal tu nantilah kita fikirkan. Yang penting, kita kena siapkan dulu design kita. Kalau design kita meletup, insya-ALLAH pihak Zalora berkemungkinan akan jual produk hipster kita ni dekat web site jualan online dia orang."
Ery hanya mencebik. Dia hanya pekerja dan Saffarin pula bos. Jadi, dia tidak boleh berkata lebih andai bos sudah berkata sedemikian.
Perbualan tergendala lagi.
Seketika kemudian, telefon pintar Saffarin memekik lagi. Ery yang sedia tertekan dengan nada dering bunyi telefon lama yang telah diharmonikan itu semakin bertambah rasa tertekannya bila dia melihat tiada tanda-tanda Saffarin mahu menjawab panggilan itu.
"Eh, kenapa kau tak jawab call tu? Dah berpuluh kali kut, telefon kau tu memekak?" tanya Ery, sudah tidak mampu menahan sabar.
Tiada jawapan dari Saffarin. Lelaki itu kelihatan masih fokus pada rekaannya. Bergema ruang kerja itu dengan bunyi telefon dari pembesar suara telefon pintar Saffarin.
"Fazira yang call, kan?" tebak Ery bila melihat Saffarin masih buat-buat endah tidak endah.
Saffarin angguk dengan wajah tanpa riak.
Keluhan halus, Ery helakan dengan memek wajah bosan. Tebakannya mengena.
Telefon pintar di atas meja itu berhenti memekik. Beberapa saat kemudian, bertimpa-timpa bunyi 'bip' menandakan ada mesej baru di aplikasi WhatsApp.
"Kau dah tak suka dia ke?" uji Ery yang sudah hilang fokus mahu meneruskan kerjanya. Berkarya memerlukan fokus yang tinggi. Jika fokus terganggu, pasti hasilnya tidak memuaskan.
"Aku dah rimas dengan dia. Dahlah bimbo, over gedik pulak tu. Aku ingatkan dia tu muka matang, perangai pun matang. Bila aku cakap aku cuba try terima dia sebagai girlfriend aku, terus terserlah perangai bimbo gedik dia. Aku rimas!"
Ery geleng kepala.
"Masalahnya, perempuan-perempuan yang nak dekat kau semuanya bimbo lagi gedik, kan?"
Tidak pasti itu kata-kata sindiran atau pemakluman ikhlas dari Ery.
"Itulah masalahnya. Zaman sekarang ni susah nak cari perempuan yang lain dari yang lain. Semuanya harapkan muka aje cantik, tapi... bombo!"
Ery tergelak kecil mendengar kenyataan kawan baiknya itu. Kerjanya sudah diabaikan.
"Kau nak cari perempuan yang lain dari yang lain? Kau nak perempuan macam mana? Yang ada tanduk? Tak pun perempuan yang ada ekor? Kau ni, kalau nak demand sekali pun, agak-agaklah. Ke... kau nak 'perempuan jadian'? Aku ramai kawan maknyah. Kau nak ke?" tanya Ery diakhiri selorohan lalu menyambung gelak. Tubuh disandar pada kerusi.
"Isy, merepek aje kau ni," tepis Saffarin, dia tidak boleh terima cadangan Ery itu. Walaupun dia berkecimpung dalam dunia fesyen, itu tidak bermakna dia seorang yang... dua alam! Dia lurus! Selurus pembaris!
"Kalau kau dah tak boleh terima Fazira tu, baik kau berterus terang aje pada dia, kan senang? Tak baik mainkan perasaan orang, Farin. Berdosa kau tahu tak?"
Terhenti terus tangan Saffarin dari terus melukis rekaannya selepas mendengar kata-kata Ery itu. Buat seketika dia memandang Ery, lama, sebelum mencapai telefon pintarnya yang masih berbunyi 'bip' tidak henti-henti sejak tadi. Entah apa yang Fazira hantar padannya melalu aplikasi WhatsApp. Pasti kata-kata rayuan.
Berkerut dahi Ery melihat perlakuan Saffarin. Kelihatan kawan baiknya itu sedang menaip sesuatu pada telefon pintarnya. Lima saat kemudian, Saffarin kembali menyambung kerja lalu mengabaikan lagi telefon pintarnya.
"Kau balas mesej Fazira ke?"
Saffarin angguk.
"Kau balas apa?"
"Aku balas yang aku dah breakoff dengan dia."
"Apa? Kau breakoff dengan dia guna WhatsApp?" terkejut besar Ery dibuatnya.
Saffarin mengangkat wajah memandang Ery dengan kedua kening terangkat.
"Kenapa? Ada masalah?"
Ery hanya mampu telan liur sambil mengeleng. Tidak tahu hendak berkata apa. Semudah itu Saffarin memutuskan hubungan cintanya dengan Fazira yang belum ada sebulan bergelar pasangan kekasih.
"Kau ni biar betul, Farin? Kau tak rasa zalim ke, breakoff dengan dia melalui mesej WhatsApp? Kalau melalui call tu, boleh jugak diterima."
Ery masih tidak percaya dengan tindakan Saffarin tadi.
Saffarin buat endah tidak endah. Dia masih fokus pada rekaannya.
"So, kau nak aku jumpa dia ke apa?"
"Mestilah. Kau ingat Fazira tu patung? Dia pun ada hati dan perasaan tau?"
Kali ini mood Saffarin terus lenyap ditelan masa. Kata-kata Ery itu buat dia sentap. Perlukah dia berhadapan dengan Fazira? Dia malas hendak menghadap segala drama wanita gedik lagi bimbo itu. Dia rimas! Bila difikirkan semula, menyesal pula dia menerima wanita itu menjadi kekasihnya sebelum ini. Kalaulah dia tahu perangai Fazira si model terkenal itu gedik melampau-lampau sesudah dia membuat keputusan untuk cuba menerima wanita itu sebagai kekasih hatinya, pasti sejak awal-awal lagi dia tidak akan menerima wanita itu menjadi kekasihnya.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, tanggunglah sendiri akibat dan kesannya. Buat seketika dia berkira-kira sama ada perlu atau tidak dia bertemu dengan Fazira secara bersemuka.
**********
GAUN yang sudah siap dijahit dan disulam manik dimasukan ke dalam plastik pelindung khas untuk pakaian yang mana di bahagian tepi plastik jenis PVC itu punya zip dari atas ke bawah. Plastik pelindung itu berfungsi untuk melindungi pakaian dari terkena habuk dan kotoran. Siap sahaja, gaun potongan kebarung moden itu disangkut pada penyangkut khas untuk pakaian yang sudah siap dijahit.
Beginilah hidup sebagai tukang jahit dan pereka fesyen. Memandangkan modal tidak berapa banyak, dia hanya mampu membuka butik kecil sahaja untuk menjual pakaian rekaannya dan mengambil tempahan pakaian dari kalangan penduduk setempat. Mahu menghasilkan pakaian berjenama sendiri, dia belum mampu. Namun, dia tetap punya azam mahu ada koleksi pakaian jenamanya sendiri seperti Rizman Ruzaimi, Razwan Radziwill dan ramai lagi pereka fesyen terkenal Malaysia dan antarabangsa suatau hari nanti. Berangan dan menyimpan harapan bukan dikenakan bayaran pun. Manalah tahu, anganan bisa menjadi kenyataan? Siapa tahu, kan?
Langkah disusun menuju ke arah ruang santai yang ada di bahagian hadapan butiknya. Ruang santai ini selain dijadikan tempat perbincangan dengan pelanggannya untuk menempah baju, ruang ini juga terkadang menjadi ruang kerja Hania untuk menyiapkan kerja menyulam maniknya. Bersepah di atas meja kopi di tengah ruang santai itu dengan pelbagai jenis bekas plastik berisi pelbagai jenis, warna dan bentuk manik.
"Punyalah gigih aku sediakan bilik kerja dekat belakang tu, dekat ruang santai ni jugak kau gigih menjahit manik, kan?" perli Marsha lalu melabuhkan punggungnya di atas sofa yang bertentangan dengan Hania - si kawan baik merangkap sepupu kesayangan dan pekerjanya.
Di antara ramai-ramai sepupu yang dia ada, hanya Hania sahaja yang rapat dengannya sejak kecil sampailah sekarang. Dia bersyukur ada Hania yang sudi bekerja dengannya. Walaupun Hania tidak pernah pergi mana-mana kelas atau kursus menjahit manik, tapi hasil sulaman maniknya memang cantik dan kemas.
Inilah dikatakan anugerah Tuhan. Kalau ALLAH mahu menganugerahkan sesuatu bakat itu kepada hamba-NYA, dengan mudah sahaja bakat itu terserlah pada hamba-hamba terpilih-NYA tanpa bersusah payah untuk belajar. Itulah yang berlaku pada Hania. Sungguh dia bersyukur kerana memiliki seorang pekerja yang begitu kreatif dalam menyulam manik mengikut rekaan masa kini. Dia kagum dengan bakat yang ada pada Hania.
"Tak naklah aku buat kerja dekat bilik tu. Tak ada air-cond. Lepas tu, tak ada TV," balas Hania sambil tangannya laju memasukan manik-manik yang dipilih di hujung jarum. Matanya pula terus fokus pada skrin televisyen di hadapannya. Bila sudah mahir, tutup sebelah mata pun dia boleh menjahit maniknya dengan sempurna.
"Wah, demand kau, kan? Keji!" sindir Marsha selaku pemilik butik Marshanda Collections ini. Selain menerima tempahan mereka dan menjahit pakaian, butiknya ini turut menjual baju yang sudah siap dijahit, dan menyediakan khidmat sewa baju pernikahan dan pertunangan.
"Haruslah..." ujar Hania sambil melewe-lewekan bibir. Matanya terus fokus pada filem Hindustan yang sedang ditayangkan di kaca televsiyen. Biasalah, hari Sabtu. Memang selalu ada tayangan filem Hindustan setiap petang. Panggung Sabtu temanya!
Perbualan tergendala seketika. Masing-masing fokus pada filem Hindustan di skrin televisyen. Diketika ini sedang ditayangkan babak si hero sedang berlawan dengan pejahat untuk menyelamatkan si kekasih yang diculik disebabkan harta.
"Hisy, tengah syok-syok bergaduh, boleh pulak iklan!" maki Hania, geram.
"Macamlah kau tak biasa dengan siaran TV pecuma ni, kan?"
Hania hanya merengus bengang. Manik-manik berwarna merah hati secocok dengan warna tanah baju yang sedang disulamnya ketika ini disusun cantik di bahagian hujung jarum sebelum dijahit mengikut corak kerawang pada kain lace yang ada.
"Oh ya, macam mana dengan design baju kau untuk pertandingan fesyen tu? Dah siap?" tanya Hania, seraya menukar topik perbualan.
Marsha tidak terus menjawab. Bantal kecil di sisinya dicapai lalu dipeluk. Keluhan halus dihela perlahan. Sebenarnya dia masih belum fikirkan secara telus tentang pertandingan mereka fesyen yang telah dianjurkan oleh penerbit majalah fasyen terkenal itu.
"Belum lagi. Aku masih keliru konsep apa aku nak pilih. Entahlah, tiba-tiba aku rasa macam nak tarik diri dari pertandingan tu. Aku macam tak ada idea nak buat konsep apa." pertanyaan Hania baru dijawab.
"Eh, bukan ke, pertandingan tu konsep bebas? Kalau kau menang pertandingan tu, hadiahnya lumayan, kan? Selain dapat duit, baju kau tu nanti akan masuk magazine, glamour kau nanti. Masa tulah kau nak perkenalkan jenama kau pada dunia," beria-ia Hania berkata. Dia merasakan, kawan baiknya itu ada peluang untuk meraih kemenangan jika berani mencuba.
"Memanglah konsep bebas. Kau ingat senang ke, pereka fesyen cabuk macam aku ni nak menang dalam pertandingan tu? Selain modal kena ada, aku kena buat satu konsep yang lain daripada yang lain tau? Percayalah cakap aku, mesti ramai yang buat konsep evening dress malam tu, klise! Selain tu, mana aku nak cekup model?"
Sekali Marsha sudah membebel, terus panjang berjela.
"Semua tu boleh diusahakan, kan?"
"Memanglah boleh diusahakan. Kau ingat semua tu boleh settle dengan berbekalkan air liur? Cuba kau buat, kau rasa kau mampu?"
Hania mencebik. Dia hanya mahu memberi kata semangat dan kata perangsang sahaja. Bukannya dia mahu tunjuk pandai.
"Aku cakap aje. Rezeki ALLAH tu, kita tak tahu bila DIA nak bagi, kan? Mana tahu kau menang malam tu? Kalau tak menang pun, sekurang-kurangnya bertambah isi folio kau. Kau pernah masuk pertandingan fesyen. Gempaklah sikit isi folio kau nanti. Lagipun, bukannya kena buat banyak baju pun. Satu baju aje, kan?"
Hania tetap mencuba nasib memujuk kawan baiknya itu.
"Tengoklah macam mana. Designnya pun belum siap lagi. Lagipun aku ada seminggu lagi nak buat keputusan."
Hanya keluhan hampa yang Hania helakan. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Yang penting dia sudah beri kata dorongan dan semangat. Sama ada Marsha mahu ikut atau tidak, itu terserah pada kawan baiknya itu.
"Ingat Sha, peluang ni tak selalu datang," hanya kata-kata pesanan itu yang bisa Hania berikan.
Perbualan tergendala lagi. Fokus mereka kembali pada filem Hindustan yang kembali ditayangkan selepas slot iklan selesai. Beberapa saat kemudian, telefon pintar Hania di atas meja kopi di hadapan mereka berbunyi menandakan ada mesej baru diterima melalui aplikasi WhatsApp.
Pantas Hania mencapai telefon pintarnya selepas terpapar nama Syamim di skrin. Terus hatinya berbunga-bunga riang seraya mengukir seoles senyum bahagia. Lembaran mesej digital itu dibuka lalu dibaca.
Senyum bahagia Hania terus terkaku lalu mati selepas membaca mesej berbaur sedih yang barusan dihantar Syamim, si buah hatinya.
"Wahhh!!!" raung Hania sekuat hati selepas mindanya berjaya menghadam mesej Syamim itu.
Marsha yang duduk bertentangan dengan Hania, terkejut bila Hania tiba-tiba meraung persis wanita yang baru dijatuhkan talak. Apa sebenarnya dah berlaku ni? Hati kecilnya tertanya hairan.
**********
"YOU kan tahu, ciri-ciri wanita yang I suka untuk dijadikan girlfriend I dan dijadikan isteri I? I ingat you perempuan yang lain dari yang lain. Rupa-rupanya sama aje... bimbo," ujar Saffarin. Sengaja dia memperlahankan perkataan 'bimbo' di hujung kata-katanya demi menjaga hati.
Disebabkan Ery, dia terpaksa berhadapan dengan Fazira. Menyesal pula dia kerana mengikut saranan kawan baiknya itu. Dia sudah tahu, Fazira pasti akan meroyan dan mengeletis kecewa penuh drama bila bertemu dengannya selepas apa yang berlaku. Tapi, tetap juga dia gagahkan diri berhadapan dengan wanita jelita lagi seksi itu demi Ery. Hendak tidak hendak terpaksa jugalah dia menghadap segala drama sedih wanita itu ketika ini.
"Apa? You kata I bombo? I bukan bimbo okey? I cuma... kurang cerdik aje," Fazira membela dirinya. Pelangan-pelangan lain yang ada di restoran itu sudah memandang-mandang ke arahnya sejak tadi tidak diendah. Yang penting hatinya yang remuk bisa terubat. Dia tidak bisa menerima perpisahan ini. Dia benar-benar sayangkan Saffarin sepenuh hati!
Habis celak dan maskaranya meleleh mengalir seiringan dengan air matanya yang sudah merembes deras sejak tadi.
Saffarin mengeluh bosan. Selain bimbo, kegedikan Fazira yang penuh dramatis juga membuatkan dia rimas. Dia tidak suka dengan perempuan yang terlalu bergantung harap pada lelaki dan terlalu manja. Malas dia mahu membahas isu 'bombo' itu lagi. Bimbang hati Fazira bakalan terus terluka.
"You..." Fazira mencapai tangan Saffarin di atas meja. Sesungguhnya hatinya sudah terpaut pada lelaki berjambang tipis, berambut potongan pompadour, berkaca mata dengan potongan bingkai wayfarer, berkot kemas dan bergaya vintage itu. Sungguh dia suka lelaki bergaya sedemikian. Cukup maskulin dan maco!
Ikutkan hati ingin sahaja Saffarin menarik tangannya dari terus digenggam Fazira. Demi menjaga hati, dia biarkan sahaja.
"I terlalu cintakan you, Farin. Belum ada sebulan you terima I sebagai girlfriend you, kenapa tiba-tiba you nak breakoff dengan I pulak? Apa salah I?" sambung Fazira dengan pelbagai pertanyaan. Kala ini dia merasakan dirinya bagai teraniaya. Dia diputuskan tanpa alasan munasabah.
Saffarin menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Fokusnya diberikan sepenuhnya kepada Fazira. Tangannya masih diramas-ramas lebut oleh Fazira. Pandangan berkaca dan penuh kepiluan wanita itu sedikit pun tidak mengugah keputusannya.
"You tak salah apa-apa, Ira. You cantik, seksi dan...hebat atas runway. Tapi, you bukan wanita pilihan I. Sikap you totally berubah selepas I bagi tahu you yang I akan cuba terima you jadi girlfriend I. Sebelum ni you tak gedik sangat macam sekarang. I tak suka perempuan gedik, Ira. You fahamkan maksud I? I dah bagi tahu hal ni sebelum I buat keputusan terima you lagi," jelas Saffarin, tenang.
"Okey..." akur Fazira lalu menyeka air matanya. Semakin comot matanya bila air matanya yang bercampur celak dan maskara mencoret indah di pipinya.
"I janji, lepas ni I tak akan gedik lagi. I janji akan berubah," sambung Fazira beria-ia sekali. Dia nekad mahu berubah demi Saffarin.
Saffarin tergelak kecil. Minumannya tidak disentuh sejak tadi. Dia ke restoran ini pun atas desakan Fazira. Ikutkan hati dia malas mahu bertemu Fazira dalam keadaan emosi wanita itu yang sedang bergelojak.
"You, ini bukan sebab boleh berubah atau nak berubah. I tak nak you jadi orang lain disebabkan I. I faham perasaannya bila terpaksa jadi orang lain demi orang yang kita cinta. Hal tu tak akan kekal lama, Ira. Lambat laun perangai tu akan terserlah juga. I tak nak paksa you dan tak nak buat you kecewa di kemudian hari. I rasa ini jalan terbaik bagi kita. Ada lelaki lain yang lebih baik untuk you dekat luar sana. Dan lelaki tu, bukan I."
Dengan tenang Saffarin cuba memberi kesedaran pada Fazira. Lagi kejam andai dia terus memainkan perasaan wanita itu dan mencuba menerima sesuatu yang dia tidak boleh terima. Hal itu bukan sahaja kejam pada Fazira, sebaliknya dia akan berlaku kejam pada dirinya sendiri kelak. Benar, menerima itu lebih baik dari memilih. Tapi, dalam hal ini, dia merasakan dia berhak memilih demi kebaikan bersama. Dia bimbang dia tidak bisa mencintai Fazira sampai bila-bila. Bukankah itu akan lebih mendatangkan kemudaratan kepada kedua-dua belah pihak?
"Tapi, I cintakan you, Farin," luah Fazira, sesungguh dan seikhlas hati. Hatinya kini hanya untuk lelaki di hadapannya itu.
"Fazira."
Kali ini Saffarin pula mengenggam tangan Fazira.
"I minta maaf sebab buat you macam ni. I tak mampu nak tipu diri I sendiri dan I tak nak kecewakan you. I harap you boleh terima apa yang berlaku pada hubungan kita ni sebagai takdir. I bukan jodoh you. Be positive, okay dear?" sambungnya dengan harapan Fazira tidak semakin meroyan di restoran itu.
"Tapi..." Fazira masih cuba meraih cinta Saffarin.
"I ada appoinment sekejap lagi. I harap you boleh terima semua ni dengan tenang, okey? I minta diri dulu," tintas Saffarin lalu bingkas berdiri dan meninggalkan Fazira sendirian di restoran itu. Coffee cappuccinonya langsung tidak disentuh. Semakin lama dia di situ semakin parah emosi Fazira.
Fazira hanya mampu melihat Saffarin berlalu pergi dengan deraian air mata. Rayuannya langsung tidak diterima. Sesungguhnya hatinya sedang kehancuran ketika ini. Sakitnya tu di sini, di dalam hatiku, rintih hatinya.
**********
HAMPIR sejam Hania dan kekasih atau mungkin bekas kekasihnya sedang berbual penuh dramatik di luar pintu butik itu yang betul-betul menghadap Jalan Imbi Kuala Lumpur. Di kala jalan raya di hadapan mereka sesak dengan kenderaan yang ada, boleh pula Hania berbual penuh sadis di pinggir jalan. Nampak serius benar perbualan di antara Hania dengan Syamim ketika ini.
Marsha melabuhkan punggung di atas salah satu sofa yang ada di ruang santai itu. Sehelai gaun potongan kembang yang masih dalam proses menjahit manik di atas meja kopi di hadapannya dipandang sepi. Itu kerja Hania. Dia tidak mahu sentuh atau kacau. Melenting pula kawan baiknya itu nanti. Kerja-kerja yang melibatkan fokus dan idea kreatif ini tidak boleh diganggu, tidak menjadi pula apa yang ingin dicurahkan nanti.
Beginilah kerjanya andai di hari biasa. Sukar untuk dia mendapatkan pelanggan. Tapi bila tiba musim perayaan, tidak cukup tangan dibuatnya. Waktu senggang yang ada inilah dia akan nikmati penuh makna. Bila sudah sibuk kelak, memang tiada masa untuk dia duduk bersenang lenang seperti sekarang.
Keratan majalah berkaitan pertandingan rekaan fesyen anjuran sebuah majalah fesyen terkenal Malaysia di atas meja di hadapannya dicapai. Dia sudah menghantar borang penyertaan untuk pertandingan itu secara online minggu lepas dan penyertaannya sudah disahkan diterima. Yang pasti, hatinya sahaja sehingga kini masih berbelah bahagi sama ada mahu menyertai pertandingan itu atau tidak. Pengesahan penyertaan peringkat kedua perlu dihantar dalam tempoh terdekat berserta lukisan rekaan yang ingin dipertandingan. Namun sehingga kini hatinya masih berbelah bahagi.
Perlukah dia menyertai pertandingan itu? Hati kecilnya tertanya lalu mencampak semula keratan majalah di tangannya di atas meja di hadapannya. Bukan dia tidak percaya diri. Cuma dia tidak yakin untuk mempersembahkan rekaannya pada juri yang ada pada malam pertandingan itu. Dia bimbang rekaannya akan dikritik dan dikeji hebat oleh para juri dan penonton yang ada.
Fokusnya dialih pada drama Melayu di skrin televisyen.
Bunyi daun pintu lut sinar butiknya ditolak dari luar menarik fikirannya yang sudah jauh menerawang jauh kembali ke jasadnya.
"Habis dah, babak sedih rayu merayu kau?" tanya Marsha sambil menghulur kotak tisu yang ada di atas meja kecil di sisi sofa kepada Hania yang barusan masuk ke butiknya. Dia perasan ada lelehan air jernih di sebalik tubir mata Hania yang kini sudah selesa duduk di atas sofa di sebelahnya. Sempat dia memandang ke arah luar butik dari dinding lut sinar, kelibat Syamim sudah tidak kelihatan.
Hania mencapai kotak tisu yang dihulur Marsha lalu dicarik sehelai. Sisa air mata yang membasahi pipinya dilap sehingga kering. Kemudian, perlahan-lahan dia meletakan kepalanya di bahu Marsha. Hatinya dalam keperitan dan kehancuran ketika ini.
Keluhan berat, Marsha helakan. Ini bukan kali pertama kawan baiknya itu menangis disebabkan lelaki. Sudah berkali-kali.
"Ni lelaki yang ke berapa? Tak silap aku, yang ke sepuluh, kan?" tanya Marsha, biasa sambil cuba mengingat. Tiada terlintas di hatinya mahu menyindir atau memerli.
"Entahlah, aku malas nak ingat. Aku ingatkan Mim tu lelaki yang betul untuk aku jadikan suami. Rupa-rupanya... hampeh!" jawab Hania dengan suara serak-serak basahnya.
Marsha tergelak kecil. Dalam kesedihan sempat lagi kawan baiknya itu mengeji.
"Apa alasan dia mintak putus?"
"Emm... dia kata dia nak sambung belajar ke Dublin," jujur Hania menjawab. Air hidungnya dihembus kuat pada tisu.
"Amboi, sampai ke Dublin dia nak sambung belajar? Dekat Malaysia ni dah tak ada universiti ke apa?"
"Aku rasa itu cuma alasan dia aje. Hakikatnya, dia memang tak boleh terima aku yang... tak pandai bergaya ni."
Ada sendu di sebalik kata-kata Hania itu yang masih menangis kepedihan.
"Tulah kau, dari dulu aku dah suruh kau ubah gaya kau ni. Nak kata kau ni tomboi, rambut bergulung-gulung cantik macam Anzalna. Jalan tak reti nak kepit. Yang peliknya, bila aku suruh kau jadi model aku, boleh pulak kau cat walk dengan high heel empat inci. Aku tak fahamlah konsep hidup kau ni, Hani. Confuse gitu," luah Marsha apa yang dia rasa tentang gaya Hania.
"Carut akulah tu. Dah gaya aku macam ni, nak buat macam mana? Aku tak pandailah nak gedik-gedik manja macam model-model yang pernah jadi model baju kau sebelum ni. Meluat kau tahu tak?"
Marsha mengeleng.
"Nampaknya, kau kena tadah telingalah lepas ni," ujar Marsha, dengan wajah selamba.
Hania faham maksud di sebalik kata-kata Marsha itu.
"Tahu tak apa. Nasiblah telinga aku lepas ni bernanah dengar bebelan mak aku. Aku ingatkan bila dah kenal Syamim tu, selesailah masalah aku. Belum sempat nak bincang fasal bertunang, dia dah blah dulu."
"Aku rasa ada badi sial melekat dekat kaulah, Hani. Sebab tu lelaki susah nak lekat dengan kau. Apa kata kau pergi mandi bunga bawah jambatan? Buang segala sial yang ada dekat badan kau tu?" cadang Marsha, sekadar berseloroh.
"Choi! Syirik kau tahu tak?" tungkas Hania, tidak boleh terima cadangan merepek lagi mengarut kawan baiknya itu.
"Dah tu, kau nak buat apa sekarang?"
"Nak tak nak aku kena pasrah terima jodoh pilih mak aku tu."
"Serius?" tanya Marsha, terkejut besar sambil memandang wajah sembab kawan baiknya itu.
"Aku dah tak ada pilihan, kan? Aku macam dah give up nak cari boyfriend lagi. Semuanya tak boleh pakai," jawab Hania, lemah.
"Tema kahwin paksa sangat!"
Rengus Marsha, meluat lalu kembali menghadap skrin televisyen.
Hania sambung menangis.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Mantap
HAZEL JAY
Novelis
Minat menulis dan berkarya demi berkongsi setiap rasa, imaginasi dan pengelaman yang ada. Moga di setiap ceritera yang direka punya yang indah untuk dimiliki dan dihayati. Salam wasilah...
- NamaHazel Jay
- LahirJohor, April 1986
- FacebookHazel Jay
- WattpadHazel Jay
Johor, Malaysia
Hazel Jay
Latar
Profile Saya
- NamaHazel Jay
- LahirJohor, April 1986
- AlamatJohor, Malaysia
- FacebookHazel jay
- WattpadHazel Jay
Bakat
Web Design | Grafik
- HTML
- Photoshop
- Video
Latar Belakang
Nama pena Hazel Jay...
Menjadikan penulisan novel sebagai karier dan bidang yang diminati demi berkongsi rasa dan imaginasi yang ada...
Latar Belakang
2007 - Sekarang
Novelis
Sudah mula berkarya sejak tahun 2007 sehinggalah sekarang.
2008 - Sekarang
Pereka Grafik separuh masa
Gemar dalam bidang rekaan grafik dan seni kereatif. Masih berlajar dari masa ke semasa. Juga minat dalam bidang IT serba sedikit.
1993 - 2007
Sekolah
SR 1993 - 1998, SMK 1999-2007, Diploma 2004-2007, Lanjutan Diploma 2008 - 2009
Karya
-
Kisah percintaan di antara Saffarin dan Hania yang tanpa diduga dan...
Lanjut... -
Akan datang...
Nantikannya... -
Akan datang...
Nantikannya... -
Akan Datang...
Nantikannya... -
Akan Datang...
Nantikannya.. -
Akan Datang...
Nantikannya...





Tiada ulasan:
Catat Ulasan